Laporan RCI Tabung Haji: BN tegaskan tiada apa hendak disembunyikan
KUALA LUMPUR – Barisan Nasional (BN) menegaskan pihak tiada sebarang perkara yang hendak disembunyikan daripada rakyat khususnya kira-kira 10 juta pendeposit susulan pembentangan dan perbahasan khas Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji di Dewan Rakyat kelmarin.
Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, laporan RCI yang telah dinyahklasifikasikan, dibentangkan secara terbuka dan dibahaskan Ahli Parlimen membuktikan proses ketelusan dilaksanakan melalui saluran institusi negara yang sah.
Sehubungan itu katanya, BN menggesa semua pihak menghormati proses institusi negara serta meneliti dapatan RCI secara objektif berdasarkan fakta dan bukti, bukannya menjadikannya bahan penghukuman politik.
“BN turut menegaskan bahawa skop RCI berkenaan memfokuskan tempoh 2014 hingga 2020.
“Sehubungan itu, BN berpandangan kajian menyeluruh terhadap sejarah tadbir urus Tabung Haji wajar dilakukan dengan turut meneliti perkembangan dan keputusan selepas 2020, termasuk peranan Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) sejak penubuhannya sehingga kini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, dapatan RCI berkaitan tadbir urus, struktur kuasa, pemisahan fungsi dan mekanisme semak imbang perlu dijadikan asas untuk memperkukuh institusi Tabung Haji dan bukan sekadar dimanfaatkan bagi kepentingan politik jangka pendek.
Pada masa sama katanya, BN turut menyambut baik usaha penambahbaikan yang telah dilaksanakan, termasuk pelaksanaan syor-syor RCI, dan berpandangan transformasi institusi berkenaan perlu diteruskan secara konsisten.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan bahawa Pengerusinya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, sejak awal telah menyatakan sokongan supaya laporan RCI didedahkan di Parlimen dan dibahaskan secara khas.
Malah katanya, Ahmad Zahid turut mencadangkan supaya penelitian diperluaskan bagi memastikan ketelusan yang benar-benar menyeluruh.
Tegasnya, Tabung Haji bukan sekadar sebuah entiti kewangan, sebaliknya institusi umat Islam yang memikul amanah besar dalam mengurus simpanan, pelaburan dan urusan ibadah haji.
Justeru katanya, semua pihak diminta mengelakkan tuduhan melulu, penghakiman politik sebelum proses perundangan selesai serta naratif yang boleh menjejaskan keyakinan pendeposit tanpa asas yang bertanggungjawab.
“Ketelusan telah dilaksanakan. Perbahasan telah berlangsung. Transformasi sedang berjalan,” menurutnya.
Sementara itu katanya, fokus selepas ini seharusnya diberikan kepada usaha memperkukuh tadbir urus Tabung Haji, memastikan syor penambahbaikan dilaksanakan sepenuhnya serta memelihara keyakinan pendeposit dan umat Islam terhadap institusi berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








