Dakwaan pelajar luar negara isi kuota pelajar tempatan di IPT tidak benar – Zambry
PUTRAJAYA – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir menegaskan dakwaan pelajar luar negara mengisi kuota pelajar tempatan di institusi pendidikan tinggi (IPT) adalah tidak benar.
Beliau berkata, dasar pendidikan tinggi negara adalah jelas dengan tidak mengorbankan atau membenarkan mana-mana kuota atau tempat untuk anak tempatan dalam mana-mana kursus atau di mana-mana universiti diambil oleh pelajar antarabangsa.
“Setiap kuota dan tempat anak-anak tempatan akan diberi keutamaan melalui permohonan UPU.
“Walaupun kita menggalakkan dasar pengantarabangsaan, namun anak-anak tempatan tetap diberi ruang terlebih dahulu.
“Dasar pengambilan pelajar antarabangsa adalah dilakukan secara berasingan tanpa mengambil tempat pelajar tempatan,” katanya.
Pada masa sama katanya, beliau juga telah membantu menyelesaikan tiga permohonan daripada pelajar kategori orang kurang upaya (OKU) yang cemerlang.
“Saya sendiri telah maklumkan pelajar-pelajar ini akan ditawarkan kursus yang mereka pohon.
“Tiada unsur diskriminasi untuk mereka yang layak dan cemerlang sementara kita menyesuaikan keadaan dengan fasiliti terbaik di kampus,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








