Jambatan tertinggi dunia di Guizhou mula dibuka
BEIJING – China sekali lagi mencipta sejarah apabila Jambatan Huajiang Grand Canyon di wilayah Guizhou, yang diiktiraf sebagai jambatan tertinggi dunia, mula dibuka kepada lalu lintas semalam.
Kejayaan itu menandakan pencapaian hebat dalam bidang kejuruteraan moden selepas mengambil masa lebih tiga tahun untuk disiapkan.
Dengan ketinggian 625 meter merentasi sungai serta gaung bergunung-ganang, jambatan berkenaan merampas rekod daripada Jambatan Beipanjiang di wilayah sama, yang berketinggian 565 meter dan kini berada di tempat kedua tertinggi dunia.

Rakaman dron yang disiarkan secara langsung memaparkan kenderaan mula melalui struktur megah tersebut dengan menara sokongan berwarna biru, sebahagiannya diliputi awan, sekali gus memperlihatkan keindahan panorama semula jadi di wilayah berkenaan.
Wilayah Guizhou sememangnya terkenal sebagai “wilayah jambatan” apabila hampir separuh daripada 100 jambatan tertinggi dunia terletak di kawasan berbukit-bukau itu, menurut laporan agensi berita Xinhua pada 24 September lalu.
Selain mencatat rekod ketinggian, Jambatan Huajiang Grand Canyon sepanjang 1,420 meter turut diiktiraf sebagai jambatan terpanjang di kawasan pergunungan dunia.
Namun, rekod jambatan tertinggi dari segi struktur binaan iaitu diukur berdasarkan ketinggian struktur menara jambatan dan bukannya jarak ke tanah masih dipegang oleh Millau Viaduct di Perancis yang menjulang setinggi 343 meter.
Pembukaan Jambatan Huajiang Grand Canyon itu sekali gus menjadi lambang kedudukan China sebagai kuasa besar dalam pembinaan infrastruktur moden bertaraf dunia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








