BERITA SEMASALUAR NEGARA

Taufan Wipha lumpuhkan selatan China, ratusan penerbangan dibatalkan

HONG KONG – Taufan Wipha yang melanda kawasan pesisir selatan China semalam mengakibatkan kemusnahan besar harta benda awam dengan ratusan penduduk dipindah ke pusat penempatan sementara.

Memetik laporan APnews, ribut kuat itu melanda kawasan pesisir Taishan, Guangdong pada pukul 6 petang sebelum melemah menjadi ribut tropika dengan kelajuan angin maksimum 108 kilometer sejam.

Sebelum itu, Balai Cerap Hong Kong mengeluarkan isyarat Taufan No. 10 iaitu amaran tertinggi selepas pusat taufan melintasi bahagian selatan bandar berkenaan dengan kelajuan angin mencecah 140 kilometer sejam.

Akibatnya, lebih 400 penerbangan di Hong Kong dibatalkan dengan 80,000 penumpang terjejas, menurut penyiar tempatan RTHK, manakala lapangan terbang di Shenzhen, Zhuhai dan pusat kasino Macau turut mengalami pembatalan serta penangguhan besar-besaran.

Perkhidmatan tren berkelajuan tinggi di beberapa kawasan juga terjejas, selain berpuluh pokok tumbang dilaporkan di Zhuhai dan bandar-bandar lain di pesisir China.

Di Hong Kong, pihak berkuasa menerima lebih 450 laporan berkaitan pokok tumbang, dengan sekurang-kurangnya 26 individu mendapatkan rawatan di hospital awam akibat kecederaan ringan.

Sementara itu, seramai 250 penduduk terpaksa berlindung di pusat perlindungan awam.

Beberapa taman tema termasuk Disneyland Hong Kong turut ditutup sementara bagi menjamin keselamatan pengunjung.

Taufan Wipha yang dinamakan oleh Thailand sebelum ini melalui Filipina sebagai ribut tropika, membawa hujan lebat ke beberapa bahagian Taiwan, kelmarin.

Di Filipina, cuaca buruk yang dipengaruhi monsun akibat taufan tersebut menyebabkan sekurang-kurangnya seorang maut akibat banjir di wilayah Cagayan, manakala lebih 370,000 orang terjejas termasuk 43,000 yang dipindahkan.

Lebih 400 rumah turut rosak akibat banjir, tanah runtuh dan angin kencang.

Sementara itu di Korea Selatan, hujan lebat selama lima hari yang melanda negara itu meragut sekurang-kurangnya 14 nyawa dan 12 lagi dilaporkan hilang, menurut kenyataan kerajaan semalam.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button