MCIEA perkukuh kerjasama TVET Malaysia-China
BANGI – Penubuhan Perikatan Industri dan Pendidikan Malaysia-China (MCIEA) dijangka mempercepat pemindahan teknologi antara Malaysia dan China selain memperkukuh hubungan strategik dalam bidang pendidikan serta industri.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, MCIEA berperanan menghubungkan bakat tempatan dengan teknologi masa depan di samping memperkasakan latihan yang berteraskan keperluan industri semasa.
Menurut beliau, inisiatif itu juga akan memperluaskan pendekatan pembelajaran berasaskan kerja (WBL) serta menggalakkan pensijilan profesional dalam kalangan pelajar dan tenaga kerja.
“Penubuhan MCIEA mempamerkan aspirasi bersama bagi meletakkan Malaysia sebagai hab serantau inovasi TVET dan kerjasama industri-pendidikan, disokong pembangunan bakat masa depan yang lebih mantap dan bersedia menghadapi cabaran semasa.
“Saya percaya menerusi MCIEA, institusi TVET, universiti, pemain industri serta rakan teknologi akan bekerjasama dalam sektor utama seperti kecerdasan buatan (AI), robotik, pembuatan pintar, teknologi kenderaan elektrik (EV), semikonduktor, logistik dan teknologi digital,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Makan Malam Diplomasi TVET Malaysia-China di sini malam ini, yang turut menyaksikan pelancaran MCIEA.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) Negara berkata, bersempena pelancaran perikatan itu, beberapa inisiatif berimpak tinggi turut diumumkan bagi memperkukuh kerjasama kedua-dua negara dalam pembangunan bakat.
Antaranya ialah tawaran 1,000 peluang biasiswa bernilai hampir RM18 juta oleh institusi dan industri China kepada graduan TVET Malaysia untuk melanjutkan pengajian peringkat diploma di institusi TVET terkemuka negara itu.
Selain itu, sebanyak 2,000 peluang latihan antarabangsa bernilai lebih RM10 juta akan disediakan menerusi program mobiliti, peningkatan kemahiran, pemahiran semula serta Latih Jurulatih dalam bidang AI, robotik, automasi industri, pembuatan pintar, teknologi EV, semikonduktor, keselamatan siber dan ekonomi digital.
Beliau berkata, institusi dan industri China turut menyumbang peralatan latihan TVET bernilai hampir RM2 juta bagi memperkukuh pemindahan teknologi, keupayaan latihan serta kesiapsiagaan industri di Malaysia.
“Saya gembira melihat sebahagian peralatan yang disumbangkan sudah dihantar dan sedang dipamerkan di dewan ini, selain amat mengalu-alukan lebih banyak sumbangan seumpama ini bagi terus memperkukuh ekosistem TVET negara.
“Inisiatif ini akan membawa manfaat nyata kepada negara, selain memberi pendedahan antarabangsa kepada graduan TVET kita, akses kepada teknologi canggih serta laluan lebih kukuh untuk memasuki industri berpertumbuhan tinggi,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, Malaysia memerlukan rakan strategik yang berkongsi komitmen sama dalam pembangunan bakat, teknologi dan inovasi bagi menghadapi cabaran masa depan.
Menurutnya, kerjasama Malaysia-China amat signifikan ketika hubungan kedua-dua negara terus diperkukuh menerusi pelaburan, perdagangan, pendidikan, teknologi serta pertukaran antara rakyat.
“Dalam era baharu ini, kerjasama antara negara tidak lagi boleh diukur semata-mata berdasarkan nilai perdagangan atau jumlah projek diumumkan. Kekuatan sebenar sesebuah negara terletak pada bakat yang dibangunkan, kemahiran yang dipupuk serta keupayaan rakyat menyesuaikan diri dengan perubahan.
“Malaysia amat menghargai kepemimpinan China dalam bidang pembuatan termaju, AI, robotik, automasi industri dan transformasi digital. Pengalaman mereka membuktikan sesebuah negara mampu mencapai kemajuan luar biasa apabila pendidikan, industri dan teknologi bergerak seiring,” katanya.
Beliau berkata, di bawah Majlis TVET Negara, Malaysia telah menetapkan sasaran supaya 70 peratus lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) memilih laluan TVET menjelang akhir Rancangan Malaysia Ke-13.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















