BERITA SEMASA

PRN Sarawak ditetapkan 12 Disember, penamaan calon 28 November – SPR

KUCHING – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 pada 12 Disember ini.

Pengerusi SPR, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, tarikh penamaan calon pula ditetapkan pada 28 November, manakala pengundian awal pada 8 Disember, dengan tempoh berkempen selama 14 hari.

“SPR menetapkan hari penamaan calon pada 28 November, manakala hari pengundian awal pada 8 Disember dan hari mengundi pada 12 Disember,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan urusan serta tarikh penting PRN Sarawak ke-13, di sini hari ini, susulan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak pada 26 Oktober lalu.

Bagi mengendalikan pilihan raya itu, SPR melantik 82 Pegawai Pengurus Pilihan Raya dengan dibantu 305 Penolong Pegawai Pengurus.

Menurutnya, sebanyak 82 Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) turut ditubuhkan bagi memantau aktiviti kempen sepanjang tempoh rasmi berkempen.

Pasukan berkenaan akan dianggotai wakil Polis Diraja Malaysia (PDRM), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta wakil calon yang bertanding.

Ramlan berkata, sebanyak 97 pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi akan digunakan, manakala 40,505 petugas dilantik bagi mengendalikan keseluruhan proses pilihan raya.

“Sebanyak 2,027 pusat mengundi dengan 4,588 tempat mengundi atau saluran akan digunakan, merangkumi 82 pusat mengundi awal dengan 106 saluran serta 1,945 pusat mengundi biasa yang mempunyai 4,482 saluran,” katanya.

Tambah beliau, PRN Sarawak ke-13 dianggarkan memerlukan peruntukan sebanyak RM174.94 juta.

Sementara itu, beliau berkata, Daftar Pemilih Pilihan Raya (DPPR) yang digunakan adalah daftar terkini sehingga Daftar Pemilih Tambahan September 2026 yang dikemas kini pada 25 Oktober lalu.

Daftar berkenaan mengandungi 2,058,781 pemilih, terdiri daripada 2,034,373 pengundi biasa, 13,575 anggota tentera dan pasangan serta 10,833 anggota polis, Pasukan Gerakan Am (PGA) dan pasangan.

DPPR bagi PRN Sarawak ke-13 dijadualkan mula dijual pada 23 November ini.

Pengundi boleh menyemak maklumat pusat mengundi, saluran dan nombor bilangan masing-masing menerusi portal https://mysprsemak.spr.gov.my, aplikasi MySPR Semak atau talian Hotline SPR di 03-8892 7218, bermula 23 November ini.

Hotline SPR beroperasi setiap hari dari pukul 9 pagi hingga 8 malam.

Dalam pada itu, SPR turut menggesa bakal calon membuat semakan awal borang pencalonan dengan Pejabat Pegawai Pengurus atau Pejabat Pilihan Raya Negeri Sarawak sebelum hari penamaan calon.

Bakal calon juga digalakkan menjelaskan wang deposit lebih awal bagi memastikan proses penamaan calon berjalan lancar.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button