Keamanan dibina dengan keberanian, pengorbanan pahlawan negara – PM
PUTRAJAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan keamanan dan kemakmuran yang dinikmati rakyat hari ini bukan diperoleh dengan mudah, sebaliknya lahir daripada keberanian, kesetiaan serta pengorbanan para pahlawan yang mempertahankan kedaulatan negara.
Beliau berkata, jasa dan pengorbanan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta pasukan keselamatan akan terus terpahat dalam ingatan rakyat dan menjadi amanah kepada seluruh rakyat Malaysia untuk mempertahankan kedaulatan tanah air.
Anwar berkata demikian selepas menghadiri Istiadat Perbarisan Sempena Sambutan Hari Pahlawan Negara 2026 di Dataran Pahlawan Negara bersama isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, di sini hari ini.
Menurut beliau, persembahan pantomim Darah Pahlawan Ulu Legong yang dipentaskan sempena sambutan itu cukup menyentuh hati apabila mengimbau keberanian tujuh anggota keselamatan yang gugur dalam pertempuran menentang pengganas komunis di Ulu Legong, Baling, Kedah pada 29 Oktober 1981.
“Saya turut menyampaikan penghargaan kepada Prebet Md Said Adam yang terselamat dalam peristiwa itu, Pegawai Pemerintah 22 Rejimen Askar Melayu Diraja (22 RAMD), Lt. Kol. Hamzah Othman serta waris anggota yang terlibat.
“Keamanan yang kita nikmati hari ini bukan hadir dengan mudah, tetapi lahir daripada keberanian, kesetiaan dan pengorbanan para pahlawan negara.
“Jasa mereka akan terus terpahat dalam ingatan dan menjadi amanah untuk kita mempertahankan kedaulatan tanah air,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Sempena Hari Pahlawan 2026, Anwar turut mendoakan agar Allah SWT merahmati roh para pahlawan yang telah gugur serta mengurniakan kekuatan kepada seluruh warga ATM dan pasukan keselamatan dalam terus menjaga keamanan dan kedaulatan negara.
Beliau juga berharap Malaysia terus kekal aman, berdaulat dan sejahtera demi kesejahteraan seluruh rakyat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















