JENAYAH & MAHKAMAH

Dakwaan remaja maut terkena renjatan elektrik di pusat beli-belah palsu

KAJANG – Polis membuka siasatan terhadap penyebaran hantaran palsu di Facebook yang mendakwa seorang remaja perempuan maut akibat terkena renjatan elektrik ketika menggunakan kerusi urut di sebuah pusat beli-belah di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, hasil siasatan mendapati kejadian seperti yang ditularkan itu tidak pernah berlaku.

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penyebaran dakwaan berkenaan pada pukul 7.50 malam semalam, membabitkan satu pautan hantaran di laman sosial Facebook.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

“Kes itu turut disiasat mengikut Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan berkaitan kenyataan yang boleh mendatangkan khianat awam,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, sebaliknya merujuk saluran rasmi Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Sebarang maklumat atau pertanyaan berhubung perkara itu boleh disalurkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kajang menerusi talian 03-8911 4222.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button