JENAYAH & MAHKAMAH

Dua beranak warga Thailand ditahan, simpan kayu gaharu tanpa lesen bernilai RM3.47 juta

PASIR MAS – Seorang wanita warga Thailand dan anak perempuannya ditahan selepas disyaki menyimpan 197 batang kayu gaharu serta 310.8 kilogram (kg) kepingan kayu berkenaan tanpa lesen dengan nilai keseluruhan melebihi RM3.47 juta.

Kedua-dua wanita berusia 54 dan 19 tahun itu ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Baharu Cherang Hangus, Chiha Tinggi di sini, kira-kira pukul 5 petang semalam.

Komander Briged Tenggara PGA, Datuk Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan di dalam dan luar rumah, termasuk sebuah stor serta kilang lama bersebelahan kediaman itu, membawa kepada penemuan kayu gaharu dalam pelbagai saiz dan bentuk kepingan.

Menurutnya, selain kayu gaharu, pihaknya turut merampas tujuh tong plastik dan 11 keping dokumen yang meragukan.

“Siasatan lanjut mendapati rumah dan kilang lama bersebelahan kediaman itu pernah dijadikan tempat latihan Jabatan Perhutanan dari 2011 hingga 2015.

“Lokasi berkenaan beroperasi sejak 2000 dan mempunyai lesen mengumpul kayu gaharu. Kesemua kayu itu diperoleh dari hutan dan tanah milik persendirian sekitar Kelantan sejak 2016 sebelum lesen atau permit memindah ditamatkan oleh Jabatan Hutan pada tahun sama,” katanya memetik laporan Kosmo! Online.

Ahmad Radzi berkata, pemilik asal kilang berkenaan yang juga suami kepada wanita warga Thailand itu meninggal dunia pada 6 September lalu, manakala kayu gaharu terbabit diuruskan dan dijaga oleh ahli keluarganya.

Beliau berkata, siasatan mendapati rumah dan kilang lama itu dipercayai digunakan untuk menyimpan kayu gaharu tanpa lesen atau permit yang sah.

Kedua-dua wanita bersama semua barangan rampasan kemudian diserahkan kepada Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 84 Akta Perhutanan Negara 1984 (Akta 313).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button