BERITA SEMASA

PGA tumpas lombong bauksit haram, rampas hasil dan jentera bernilai RM3.75 juta

KUANTAN – Pasukan Gerakan Am (PGA) menumpaskan kegiatan perlombongan bauksit tanpa lesen di Felda Bukit Goh di sini dengan menahan sembilan individu termasuk beberapa peneroka serta merampas bauksit dan pelbagai jentera bernilai keseluruhan RM3.75 juta.

Komander Briged Tenggara, Senior Asistan Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, serbuan dijalankan bersama Unit Penguatkuasaan Negeri Pahang (UPNP) pada pukul 11.30 pagi semalam.

Menurutnya, pihak berkuasa merampas dua longgokan tanah disyaki bauksit seberat 10,000 tan yang dianggarkan bernilai RM2 juta.

“Turut dirampas tiga lori, dua jengkaut serta dua longgokan tanah dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM3.75 juta.

“Seramai sembilan individu turut ditahan selepas gagal mengemukakan sebarang lesen atau dokumen kelulusan bagi aktiviti yang dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kesemua yang ditahan termasuk lima warga asing diserahkan kepada polis dan UPNP untuk tindakan lanjut kerana disyaki menjalankan aktiviti perlombongan mineral dipercayai bauksit secara haram tanpa lesen.

Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 158 Enakmen Mineral Negeri 2001 serta Akta Imigresen 1959.

Menurut Ahmad Radzi, siasatan awal mendapati tapak berkenaan dipajak kepada sebuah syarikat untuk kerja pembersihan kawasan dan penanaman semula kelapa sawit.

Bagaimanapun, beliau berkata, tanah yang dikorek dipercayai dihantar ke sebuah kilang pemprosesan di Gebeng sebelum dijual kepada pembeli.

“Hasil semakan mendapati aktiviti mengorek tanah tersebut tidak mempunyai sebarang lesen atau kebenaran sah daripada pihak berkuasa tempatan dan kerajaan negeri Pahang,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button