PGA rampas pistol, peluru dan tumpas cubaan seludup petrol di Tumpat
TUMPAT – Sepucuk pistol bersama 35 butir peluru hidup dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam satu serbuan ke atas sebuah rumah di Kampung Pauh Seratus, Pengkalan Kubor, semalam.
Dalam operasi pada pukul 1.30 tengah hari itu, Batalion 7 PGA turut menahan dua individu warga Thailand, masing-masing seorang lelaki dan wanita berusia antara 30 hingga 40 tahun.
Komander Briged Tenggara PGA, Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek tidak memiliki sebarang lesen senjata api yang sah.
“Pemeriksaan di dalam rumah menemukan sepucuk pistol jenis Revolver .38 bersama 35 butir peluru hidup serta beberapa aksesori berkaitan senjata api.
“Suspek lelaki juga didapati tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Menurut beliau, rampasan diserahkan kepada Bahagian Siasatan Jenayah (BSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tumpat untuk tindakan lanjut.
Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971, Seksyen 8(a) Akta Senjata 1960 serta Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63.
Sementara itu, dalam kes berasingan, PGA turut menumpaskan cubaan penyeludupan petrol bersubsidi di pangkalan haram Sarang Burung dalam Op Taring WAWASAN Kelantan.
Nik Ros Azhan berkata, rondaan pada pukul 6.30 petang menemukan beberapa tong mengandungi 240 liter petrol di tebing sungai yang dipercayai untuk diseludup ke negara jiran.
“Minyak berkenaan dirampas dan diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri (KPDN) Kelantan untuk tindakan lanjut. Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







