PGA rampas empat burung kakak tua bernilai RM100,200, penyeludup lari ke Thailand
PENGKALAN KUBOR – Taktik penyeludupan hidupan liar melalui laluan sungai di sempadan Malaysia–Thailand terbongkar apabila Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas empat ekor burung kakak tua bernilai kira-kira RM100,200 dalam satu operasi di Pengkalan Haram Kak Nah, semalam.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, rampasan tersebut dilakukan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan sekitar pukul 7 malam ketika anggota melakukan rondaan di kawasan berhampiran Sungai Golok.
Menurut beliau, seorang lelaki yang sedang memunggah sangkar di tebing sungai bertindak melarikan diri ke arah Thailand menggunakan bot sebaik menyedari kehadiran anggota PGA.
“Hasil pemeriksaan ke atas sangkar berkenaan menemukan dua burung kakak tua spesies Blue and Gold Macaw dan dua burung kakak tua spesies Blue Fronted Amazon yang dipercayai diseludup tanpa permit sah.
“Turut dirampas dua sangkar dengan anggaran keseluruhan nilai rampasan RM100,200,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ahmad Radzi berkata, kesemua burung berkenaan dipercayai untuk dipasarkan kepada pembeli di dalam negara.
“Kes disiasat mengikut Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








