Eskayvie, UM jalin kerjasama kajian klinikal Mindtropic
KUALA LUMPUR – Eskayvie Sdn Bhd (Eskayvie) mengambil langkah memperkukuh penyelidikan produknya apabila Mindtropic bakal melalui kajian klinikal bersama Universiti Malaya (UM).
Kerjasama strategik itu bertujuan menilai formulasi lengkap Mindtropic dalam aspek prestasi kognitif, daya tahan terhadap tekanan, fungsi sistem saraf autonomi dan kualiti tidur.
Pengarah Urusan Eskayvie, Datin Dr Kartika Wati Mohamed berkata, selepas 17 tahun membangunkan Eskayvie, pihaknya terus memberi keutamaan terhadap penyelidikan dalam usaha meningkatkan kualiti produk serta memperkukuh aspek inovasi.
“Kepercayaan pengguna terhadap Mindtropic mendorong kami untuk terus melangkah lebih jauh dalam penyelidikan dan inovasi. Melalui kerjasama dengan Universiti Malaya, kami mahu menilai formulasi lengkap Mindtropic secara klinikal bagi mendapatkan bukti saintifik yang lebih menyeluruh tentang keberkesanannya.
“Bagi kami, kepercayaan itu datang bersama tanggungjawab untuk terus mengutamakan kualiti, keberkesanan dan keselamatan produk. Kami berharap kerjasama ini turut membuka peluang kepada lebih banyak penyelidikan dan penerbitan saintifik pada masa hadapan,” katanya.
Baca juga : Eskayvie angkat isu nutrisi minda, raikan 600 pelajar cemerlang SPM
Terdahulu, majlis menandatangani Memorandum Perjanjian (MoA) itu berlangsung di pejabat Canselor Universiti Malaya, dengan UM diwakili Naib Canselor, Profesor Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman, manakala Eskayvie diwakili Pengarah Urusan, Dr Kartika.
Turut hadir Pengarah Eksekutif dan Ketua Penyelidikan dan Inovasi, Datuk Dr Syid Ayob Syid Mustafa Al-Qudri; Duta Eskayvie, Datuk Aznil Haji Nawawi serta penyelidik dan wakil daripada kedua-dua organisasi.

Kajian berkenaan akan dijalankan bersama Clinical Investigation Centre (CIC), Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM), membabitkan pasukan penyelidik UM mengikut protokol yang diluluskan serta piawaian penyelidikan klinikal.
Syid Ayob berkata, pembangunan Mindtropic mengambil kira hubungan antara fungsi kognitif, tindak balas terhadap tekanan dan kualiti tidur yang boleh mempengaruhi prestasi mental seseorang.
“Dalam menilai prestasi minda, kit bukan sahaja melihat kuasa dan daya ingatan, tetapi juga keupayaan seseorang menghadapi tekanan serta mendapatkan tidur yang berkualiti.
“Setiap bahan mempunyai asas penyelidikannya tersendiri. Melalui kajian klinikal ini, kami mahu melangkah lebih jauh dengan menilai keberkesanan gabungan bahan tersebut sebagai satu formulasi lengkap.
“Dapatan kajian ini diharapkan dapat menjadi asas kepada penyelidikan dan inovasi produk kami pada masa hadapan,” katanya.
Mindtropic dirumuskan dengan gabungan bahan yang dipilih berdasarkan fungsi dan rasional saintifik masing-masing.
Sementara itu, Noor Azuan berkata kerjasama berkenaan membolehkan UM menggabungkan kepakaran saintifik serta keupayaan penyelidikan universiti dengan inovasi dan keperluan industri.
“Kerjasama dengan Eskayvie membolehkan kami menggabungkan kepakaran saintifik dan keupayaan penyelidikan universiti dengan inovasi serta keperluan industri.
“Kami berharap kajian klinikal ini dapat menghasilkan bukti saintifik yang berkualiti, sekali gus membuka ruang kepada pembangunan inovasi kesihatan yang lebih relevan dengan keperluan masyarakat,” katanya.
Kerjasama itu dijangka memperkukuh asas penyelidikan Mindtropic selain membuka ruang kepada kajian dan penerbitan saintifik pada masa hadapan.
Ia turut menjadi kesinambungan kepada Eskayvie Research & Innovation Centre yang berperanan sebagai hab penyelidikan dan inovasi, merangkumi kajian klinikal, pembangunan formulasi, pendidikan kesihatan awam serta teknologi kesihatan baharu.
Eskayvie turut menyasarkan untuk memperluas kerjasama dengan universiti, penyelidik dan pakar kesihatan di dalam serta luar negara bagi menghasilkan produk dan penyelesaian berasaskan sains.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








