PGA rampas 2,560 pod vape di Tanah Merah, disyaki cuba diseludup ke Thailand
KOTA BHARU – Sebanyak 2,560 unit pod vape dirampas Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi membanteras aktiviti penyeludupan rokok elektronik dipercayai untuk dibawa ke negara jiran, hari ini.
Rampasan itu dilakukan menerusi Op Taring Wawasan Kelantan kira-kira jam 12.15 tengah hari di Sekatan Jalan Raya Lalang Pepuyu di sini.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain, berkata kejadian itu berlaku selepas pihaknya menahan sebuah van yang mencurigakan untuk pemeriksaan.
“Hasil pemeriksaan menemui beberapa kotak mengandungi 2,560 unit pod vape. Pemandu diminta mengemukakan dokumen berkaitan barangan tersebut, namun gagal berbuat demikian,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, lelaki terbabit kemudian ditahan manakala semua pod vape berkenaan dirampas sebelum dibawa ke Komtak Taman Bakti untuk tindakan lanjut.
Hasil siasatan awal mendapati suspek mengambil kesemua pod vape itu di sekitar Tanah Merah sebelum dipercayai untuk dihantar ke Thailand melalui pangkalan haram di Kampung Rahmat, Rantau Panjang.
Tangkapan serta rampasan termasuk van yang digunakan telah diserahkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Cawangan Tanah Merah untuk siasatan lanjut.
Kes disiasat di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Bekalan 1961.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















