PRN Johor: Dr Ahmad Zuhan bawa agenda digitalisasi pertingkat ekonomi DUN Mahkota
KLUANG – Calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Dr Ahmad Zuhan Mohd Zain berhasrat membawa aspirasi digitalisasi sebagai antara fokus utama kempennya pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Menurut Dr Ahmad Zuhan, usaha digitalisasi bekenaan penting bagi merancakkan ekonomi setempat, khususnya dalam kalangan golongan muda di kawasan berkenaan.
“Pertama, saya akan menyantuni setiap pengundi di DUN Mahkota ini, insya-Allah. Saya bersama pasukan kempen akan membawa satu aspirasi baharu iaitu digitalisasi untuk DUN Mahkota.
“Kita mahu memastikan ekonomi masyarakat di DUN Mahkota dapat ditingkatkan terutama dalam kalangan anak-anak muda yang ramai berada di DUN Mahkota supaya mereka dapat kembali dan berkhidmat di bandar Kluang serta kawasan sekitarnya.
“Insya-Allah dengan limpahan yang kita akan bawa daripada Kuala Lumpur ke Kluang, kita mahu membina ekonomi yang lebih mantap untuk anak-anak muda, generasi terdahulu dan generasi baharu, sekali gus menjadikan Kluang sebagai sebuah pusat yang mampu menawarkan pendapatan lebih tinggi,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas selesai proses penamaan calon yang turut dihadiri dua lagi calon iaitu Syed Hussien Syed Abdullah mewakili Barisan Nasional (BN), serta Abd Hamid Ali dari Parti Bersama di sini, pagi tadi.
Beliau berkata, proses penamaan calon yang berlangsung berjalan lancar apabila Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerima tiga pencalonan melibatkan PH, Barisan Nasional (BN) dan Bersama tanpa sebarang halangan.
Menurutnya, kelancaran itu dibantu menerusi sistem baharu yang diperkenalkan SPR, selain proses pra-penyerahan yang telah dilaksanakan lebih awal.
Dalam pada itu, seramai 172 calon disahkan bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini selepas proses penamaan calon ditutup pada 10 pagi tadi.
Tempoh berkempen selama 14 hari bagi PRN Johor pula bermula secara rasmi seperti ditetapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), sehingga 11.59 malam, 10 Julai, sebelum hari pengundian berlangsung.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








