Pemimpin BN Johor buat laporan polis kenyataan Mohd Puad
JOHOR BAHRU – Beberapa pemimpin Barisan Nasional (BN) tampil membuat laporan polis berhubung kenyataan bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Datuk Mohd Puad Zarkashi yang mengaitkan Institusi Diraja dengan pembubaran DUN Johor dan pemilihan calon bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Setakat pukul 1 tengah hari tadi, antara yang membuat laporan polis adalah Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan negeri, Datuk Mohd Jafni Md Shukor yang juga Pengerusi BN Kulai di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kulai.
Selain itu, Pengerusi Jawatankuasa Belia dan Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi negeri, Mohd Hairi Mad Shah turut membuat laporan di IPD Johor Bahru Selatan.
Hadir sama membuat laporan polis bersama Mohd Hairi adalah Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar.
Selain itu, Setiausaha UMNO Johor, Datuk Abdul Halim Suleiman turut membuat laporan polis berhubung isu sama di IPD Seri Alam.
Difahamkan, Ketua Pemuda MCA yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri, Ling Tian Soon juga sudah membuat laporan polis.
Sementara itu, Mohd Hairi berkata, tuduhan yang dilemparkan Mohd Puad di media sosial adalah amat berat kerana mengaitkan Institusi Diraja.
“Saya selaku ‘caretaker’ Ahli Majlis Kerajaan Negeri Johor mewakili Kerajaan Negeri Johor membuat laporan polis terhadap beliau (Mohd Puad) susulan kenyataannya yang mendakwa Institusi Diraja mengawal UMNO Johor (dalam pemilihan calon) adalah tidak berasas.
“Sehubungan itu, saya menafikan sekeras-kerasnya perkara yang membabitkan isu 3R ini dan meminta supaya pihak polis membuat siasatan lanjut,” katanya lagi.
Terdahulu hari ini, Mohd Puad mengumumkan keluar UMNO berkuat kuasa serta-merta atas alasan UMNO tidak lagi bebas membuat keputusan dan mendakwa UMNO Johor dikawal istana dalam membuat keputusan.
Penyandang kerusi DUN Rengit itu dilaporkan berkata, Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sendiri membuat pengakuan kepadanya ketika pertemuan di Saujana (kediaman rasmi Menteri Besar) pada 21 Jun lalu yang kemudian memaklumkan kepadanya bahawa pihak Istana yang bertitah supaya DUN Johor dibubarkan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








