RCI Tabung Haji: Armizan gesa siasatan penguatkuasaan dilakukan secara telus
KUALA LUMPUR – Dapatan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berhubung pengurusan Lembaga Tabung Haji (TH) perlu diteruskan dengan siasatan penuh oleh agensi penguatkuasaan bagi memastikan setiap persoalan yang timbul dapat diselesaikan secara adil.
Datuk Armizan Mohd Ali (GRS-Papar) berkata, siasatan itu perlu dijalankan secara telus, bebas dan profesional supaya tiada pihak teraniaya serta hak jutaan pendeposit TH dapat dipelihara.
Menurutnya, isu berkaitan pengurusan dan operasi TH antara 2014 hingga 2020 sekian lama menjadi pertikaian sehingga berlaku tuduh-menuduh, termasuk penggunaan istilah ‘fitnah’ oleh pelbagai pihak.
Katanya, keadaan berkenaan menyebabkan orang ramai sukar menentukan pihak yang menjadi mangsa fitnah atau sebaliknya, sekali gus menimbulkan kekeliruan dalam kalangan rakyat.
“Pertikaian berpanjangan itu juga seolah-olah menenggelamkan dua isu lebih utama iaitu keperluan menyelamatkan TH yang mengurus tabungan 9.7 juta pendeposit termasuk 597,983 dari Sabah serta penggunaan dana awam bagi tujuan berkenaan.
“Sungguhpun tindakan itu (penggunaan dana awam) adalah satu keperluan, namun implikasi beban tanggungan itu perlu diurus dan akan diwarisi untuk tempoh yang panjang,” katanya ketika membahaskan isu berkenaan di Dewan Rakyat.
Armizan berkata, beban tanggungan berkenaan turut memberi kesan kepada ruang fiskal kerajaan untuk menyediakan keperluan lain kepada rakyat.
“Hakikatnya beban ini telah menutup ruang fiskal tambahan diperlukan antaranya untuk membina lebih banyak keperluan infrastruktur dan menyediakan bantuan tambahan sara hidup rakyat,” katanya.
Beliau berkata, tindakan susulan termasuk siasatan oleh agensi penguatkuasaan wajar dilakukan, terutama ketika wujud pelbagai perbahasan dan kesimpulan yang dibuat di luar proses siasatan rasmi.
“Asasnya, sebarang siasatan perlu dilaksanakan dengan telus, bebas dan penuh profesionalisme untuk memastikan keadilan dapat ditegakkan untuk semua dan tidak ada mana-mana pihak teraniaya.
“Paling penting hak dan keadilan untuk sekalian rakyat dan pendeposit Tabung Haji dapat ditegakkan,” katanya.
Armizan yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup berkata, pendedahan RCI turut menimbulkan persoalan terhadap tahap integriti laporan audit yang sebelum ini dibentangkan kepada Jemaah Menteri dan Parlimen.
Katanya, Perlembagaan Persekutuan menetapkan parameter jelas berhubung tanggungjawab serta mandat Ketua Audit Negara.
“Sebagai anggota pentadbiran, dalam meneliti setiap laporan tahunan agensi dan badan berkanun kerajaan yang dibentangkan dalam mesyuarat Jemaah Menteri, sandaran utama saya adalah kepada setiap ulasan Ketua Audit Negara.
“Namun, laporan RCI Tabung Haji ini sedikit sebanyak menimbulkan persoalan kepada tahap integriti laporan audit yang dipersembahkan kepada Jemaah Menteri, Parlimen dan rakyat secara keseluruhannya,” katanya.
Sehubungan itu, Armizan meminta kerajaan menjelaskan pendirian berhubung isu audit yang dibangkitkan dalam laporan RCI berkenaan.
Menurutnya, penjelasan itu penting bagi meyakinkan rakyat bahawa laporan Ketua Audit Negara termasuk pada masa kini, terus mempunyai tahap integriti yang boleh diyakini selaras dengan amanah diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan.
“Mohon dijelaskan apakah pendirian kerajaan berhubung isu audit yang dibangkitkan dalam RCI.
“Sekali gus, bagaimana kerajaan dapat meyakinkan bahawa tahap integriti laporan Ketua Audit Negara termasuk pada masa kini tetap boleh diyakini,” katanya.
Dalam pada itu, Armizan mengalu-alukan usaha Jabatan Audit Negara memperkenalkan Auditor General Dashboard (AGD).
Katanya, inisiatif itu membolehkan orang ramai mendapatkan akses kepada dapatan audit serta tindakan susulan yang dilaksanakan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







