Dakwaan Madinah tidak dipanggil RCI Tabung Haji tidak benar – Rashid Hussain
BANGI – Dakwaan bekas Ketua Audit Negara, Tan Sri Madinah Mohamad, bahawa beliau tidak dipanggil memberi keterangan dalam prosiding Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan Tabung Haji adalah tidak benar dan tidak berasas.
Pengerusi Lembaga Tabung Haji (TH), Tan Sri Abdul Rashid Hussain berkata, Tan Sri Madinah telah diberikan perintah rasmi mahkamah atau sapina untuk hadir di hadapan RCI pada 3 Jun 2022.
Bagaimanapun, katanya, Madinah memohon untuk hadir bersama Timbalan Pengarah Bahagian Audit Kewangan ketika itu, Dr Mona Othman.
Menurut beliau, permohonan itu tidak dapat dipenuhi kerana tatacara prosiding RCI menetapkan setiap saksi perlu diperiksa secara individu.
“Dr Mona telah pun dipanggil untuk memberikan keterangan kepada RCI sehari sebelumnya, iaitu pada 2 Jun 2022 dan penjelasan penuh berhubung perkara itu telah direkodkan dalam prosiding suruhanjaya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menjadi panel dalam program Dialog Ummah: Realiti dan Masa Depan Tabung Haji di Bangi, hari ini.
Abdul Rashid berkata, Madinah turut diberikan peluang menjawab 75 soalan yang dikemukakan RCI secara bertulis melalui akuan berkanun, berserta lampiran berkaitan.
“Dengan memberikan beliau 75 soalan untuk diserahkan kepada kami, yang mana telah beliau lakukan di bawah akuan berkanun, beserta lampiran yang kemudiannya turut dilampirkan bersama soalan-soalan tersebut.
“Ia berada dalam rekod kenyataan saksi kami. Oleh itu, tidak benar bahawa beliau tidak mempunyai peluang untuk diwakili,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








