POLITIK

Dr Akmal diminta jangan alih tiang gol isu RCI Tabung Haji

KUALA LUMPUR – Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh diminta supaya tidak mengalihkan fokus terhadap laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) Tabung Haji selepas laporan berkenaan didedahkan kepada umum dan beberapa tangkapan dibuat badan penguat kuasa.

Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, sebelum ini Dr Akmal antara pihak yang lantang mendesak supaya laporan RCI Tabung Haji didedahkan.

Menurut beliau, apabila dapatan yang didedahkan tidak menepati naratif politik yang mahu dibawa, fokus pula cuba dialihkan kepada perkara lain.

“Persoalannya mudah. Adakah semua orang perlu ikut telunjuk Akmal dan UMNO sehingga kita mendapat jawapan yang UMNO mahu?

“Akmal perlu ingat, RCI Tabung Haji ini bukan ditubuhkan ketika PMX menjadi Perdana Menteri. Jadi kalau tidak puas hati dengan dapatan RCI, jangan pula cuba alihkan kesalahan kepada kerajaan hari ini,” katanya dalam kenyataan.

Danish berkata, UMNO mempunyai Ahli Parlimen dan merupakan sebahagian daripada kerajaan, justeru sebarang perkara dalam laporan RCI yang dirasakan tidak lengkap boleh dibawa ke Parlimen untuk dibahaskan.

“Kalau ada perkara dalam laporan RCI yang dirasakan tidak lengkap, bawa ke Parlimen. Bahas. Tanya. Desak jawapan.

“Kalau ada bukti baharu, serahkan untuk disiasat. Tidak kira siapa terlibat. Kita tidak perlu lindungi sesiapa,” katanya.

Pada masa sama, beliau mempersoalkan mengapa isu berkaitan kelemahan tadbir urus, ‘creative accounting’ serta pelaburan yang mengalami kerugian sehingga 100 peratus tidak diberikan perhatian sewajarnya.

“Ini semua persoalan besar yang sepatutnya saudara Akmal dan UMNO jawab dan perjuangkan. Anehnya, bab ini senyap pula,” katanya.

Danish turut bersetuju dengan gesaan supaya laporan RCI didedahkan sepenuhnya, namun menegaskan perkara itu perlu dilakukan secara menyeluruh dan tidak memilih bahagian tertentu sahaja bagi mengukuhkan naratif politik.

“Dedahkan semuanya. Bahaskan semuanya. Termasuk perkara yang mungkin tidak selesa untuk UMNO sendiri. Jangan hanya memilih bahagian tertentu untuk mengukuhkan naratif politik,” katanya.

Beliau turut mengingatkan supaya isu RCI Tabung Haji tidak dipolitikkan, sambil menyifatkan institusi berkenaan bukan milik mana-mana parti politik.

“Tabung Haji bukan milik UMNO. Bukan milik PKR. Bukan milik mana-mana parti. Ini duit dan amanah jutaan pendeposit.

“Jadi jangan politikkan RCI hanya kerana hasilnya tidak kena dengan skrip sendiri,” katanya.

Danish menegaskan, jika benar mahu mencari kebenaran, semua pihak perlu menerima keseluruhan dapatan tanpa memilih hanya perkara yang selari dengan kepentingan politik masing-masing.

“Kalau benar mahu kebenaran, terima kebenaran itu sepenuhnya. Jangan cari RCI sampai jumpa jawapan yang kita suka,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button