SELEPAS sembilan tahun, deruman Formula 1 (F1) akhirnya kembali menggegarkan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
F1 bukan sekadar mengembalikan nostalgia peminat sukan permotoran. Kepulangan F1 ke Sepang turut menghidupkan persoalan yang lebih besar, apakah nilai sebenar acara sukan bertaraf dunia ini kepada ekonomi Malaysia?
SIC mempunyai sejarah yang tersendiri dalam pembangunan sukan permotoran negara.
Ia mula dibina pada 1998 dan dibuka secara rasmi pada 9 Mac 1999 oleh Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Dibina dalam tempoh hanya 14 bulan dan direka oleh arkitek terkenal Hermann Tilke, SIC menjadi salah satu mercu tanda baharu Malaysia dalam arena sukan permotoran antarabangsa.
Tidak lama selepas itu, Malaysia mencipta sejarah apabila menjadi tuan rumah F1 buat pertama kali pada 1999.
Grand Prix Malaysia kemudiannya menjadi sebahagian daripada kalendar F1 sehingga 2017.
Sepanjang tempoh tersebut, Sepang bukan sahaja menjadi tempat perlumbaan, malah menjadi pentas yang memperkenalkan Malaysia kepada jutaan penonton di seluruh dunia.
Selepas hampir sedekad, F1 kembali ke Sepang pada 2026. Namun, penting untuk difahami bahawa acara yang berlangsung pada 2 hingga 4 Oktober itu bukan Grand Prix Malaysia yang kembali secara tetap.
Ia merupakan F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026 yang dipindahkan ke Sepang susulan keadaan geopolitik di Asia Barat.
Namun, dari perspektif ekonomi, peluang yang tercipta tetap signifikan.
Menurut Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research, penganjuran F1 di Sepang dianggarkan menjana antara RM1.1 bilion hingga RM1.3 bilion dalam output ekonomi, iaitu hasil kesan langsung aktiviti ekonomi dan limpahan perbelanjaan sepanjang acara tersebut.
Persoalannya, dari manakah nilai ekonomi itu datang?
F1 seharusnya tidak dilihat sebagai perlumbaan di dalam litar semata-mata. Ia perlu menjadi pintu masuk kepada pengalaman pelancongan Malaysia yang lebih luas.
Jika peluang ini digunakan untuk mempromosikan destinasi pelancongan, memperluas peluang PMKS, membangunkan bakat teknikal dan mengembangkan ekosistem sukan permotoran tempatan, kesannya boleh bertahan lebih lama.
Acara seperti F1 mempunyai keupayaan menggerakkan pelbagai sektor serentak. Lebih menarik, kehadiran pelawat antarabangsa turut mempunyai nilai dari sudut pertukaran asing.
Pelancong asing membawa masuk mata wang asing yang kemudiannya dibelanjakan dalam ekonomi Malaysia melalui sektor perhotelan, makanan, pengangkutan, peruncitan, aktiviti pelancongan dan pelbagai rantaian bekalan lain.
Ini menunjukkan nilai ekonomi F1 sebenarnya bermula sebelum pelumba memasuki litar.
Malah, anggaran HLIB Research menunjukkan perbelanjaan seorang pelancong F1 boleh mencapai sekitar RM8,879 iaitu jauh lebih tinggi berbanding purata perbelanjaan pelancong biasa.

Lebih penting, manfaat ekonomi tidak semestinya terhad kepada syarikat besar. Peniaga kecil juga mendapat limpahan daripada kehadiran ribuan pengunjung.
Dalam penganjuran F1 2026, kira-kira 40 peniaga tempatan mengambil bahagian dalam Karnival Litar Rasa MADANI di SIC, menawarkan makanan dan minuman kepada pengunjung.
Dari perspektif ekonomi yang lebih luas, penganjuran F1 memberi nilai promosi antarabangsa kepada Malaysia.
Paparan Malaysia melalui siaran global membantu membina imej negara sebagai destinasi pelancongan dan lokasi penganjuran acara antarabangsa.
Hubungan dengan jenama global dan syarikat antarabangsa juga berpotensi membuka ruang kepada pelaburan, kerjasama teknologi serta pembangunan bakat dalam industri automotif dan kejuruteraan.
Kehadiran F1 di Sepang turut memperkukuh penjenamaan PETRONAS serta membuktikan keupayaan teknologi dan kejuruteraan tempatan.
Bagi PETRONAS, kerjasama dengan Mercedes-AMG PETRONAS F1 team bukan sekadar mempamerkan jenama Malaysia di pentas sukan antarabangsa, tetapi turut mengangkat imej PETRONAS sebagai syarikat yang berkeupayaan menghasilkan teknologi bahan api, pelincir dan teknologi bendalir berprestasi tinggi.
Pada masa yang sama, Mercedes menggunakan F1 sebagai medan menguji teknologi permotoran terkini, termasuk kecekapan tenaga, sistem hibrid dan kelestarian bahan api.
Sebahagian daripada pengetahuan dan teknologi yang dibangunkan melalui F1 kemudiannya diterapkan dalam produk dan teknologi automotif di luar litar.

Justeru, seandainya F1 benar-benar kembali ke Sepang secara tetap, yang kembali bukan sekadar perlumbaan, tetapi juga sebuah pentas global yang membawa nama, kepakaran, keupayaan teknologi Malaysia ke mata dunia.
Perkara yang sangat penting untuk dipertimbangkan ialah kemampuan kewangan dan pembiayaan yang mencukupi serta manfaat ekonomi yang terhasil perlu mengatasi kos penganjuran.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif SIC, Azhan Shafriman Hanif, Bahrain menangung yuran hak penganjuran sekitar US$70 juta (RM280 juta) hingga US$80 juta (RM327 juta) untuk F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix 2026.
Namun, kira-kira RM40 juta iaitu kos operasi tempatan ditanggung bersama antara Malaysia dan Bahrain.
Maka, F1 perlu dilihat sebagai satu pelaburan ekonomi yang mesti menghasilkan pulangan kepada pelancongan, perniagaan tempatan, pekerjaan, teknologi dan rakyat.
F1 mungkin berlangsung hanya beberapa hari, tetapi impak nilai ekonomi perlu dirasai jauh lebih lama.
- Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian Malaysia Tribune
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






