BERITA SEMASAPMX

Setahun pemerintahan, PM Anwar ikrar bangunkan ekonomi, lebih keras banteras rasuah

KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim berikrar untuk memulakan usaha dengan lebih tegas bagi membangunkan ekonomi negara dan lebih keras dalam mendepani pelbagai tantangan, salah guna kuasa dan rasuah, selepas setahun bergelar Perdana Menteri Malaysia.

Anwar berkata, wujudnya Kerajaan Perpaduan adalah hasil daripada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Majlis Raja-Raja.

“Baginda dan Majlis Raja-Raja bertitah memohon sebuah kerajaan yang meliputi kesemua parti politik dibentuk bagi merungkai kebuntuan politik pasca Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

“Di sebalik tindakan pihak yang menolak titah Tuanku, kebuntutan itu terlerai selepas Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) serta beberapa parti lain sepakat mengenepikan permusuhan politik yang panjang demi menjunjung titah baginda.

“Meskipun dihantui pelbagai cubaan untuk meruntuhkan kesepaduan ini, semua parti terus tekal dengan kesepakatan ini.
Alhamdulillah, hari ini kerajaan ini menerima sokongan lebih dua pertiga daripada Ahli-ahli Parlimen,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Sepanjang setahun lalu, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, Kerajaan Perpaduan memberi tumpuan dalam mengatasi kelemahan-kelemahan yang diwarisi.

Katanya, ia membabitkan pertumbuhan Malaysia yang tidak berkembang sejak lebih 20 tahun lalu seperti yang dilaporkan dalam Sustainable Economic Development Assessment (SEDA).

Jelasnya, Kerajaan Perpaduan juga menghalakan usaha menstruktur semula ekonomi negara menerusi peluncuran kerangka Ekonomi Madani, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

“Namun, lebih ketara adalah kelemahan dan kelompongan tata kelola. Saya yakin dan percaya Malaysia punya potensi yang sangat besar untuk diangkat martabatnya jika isu tatakelola diperbetulkan dan rasuah dalam negara dihentikan.

“Saya mohon doa dan sokongan daripada rakyat dan rakan-rakan seperjuangan untuk merealisasikan hasrat kerajaan mengecap pencapaian yang jauh lebih baik, Insya-Allah,” ujarnya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button