BERITA SEMASAJENAYAH & MAHKAMAH

Negara ini negara hukum, pelaku kes Zara Qairina tidak akan dilindungi – PM

KOTA KINABALU – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengulangi prinsip Malaysia adalah negara hukum dan menegaskan tidak akan ada pihak yang akan dilindungi daripada tindakan undang-undang sekiranya terbukti bersalah.

Beliau berkata demikian ketika merujuk kepada kes kematian pelajar Tingkatan Satu, Zara Qairina Mahathir,13, yang dipercayai jatuh dari tingkat 3 bangunan sekolah dan dikaitkan dengan kes buli.

Anwar menekankan bahawa kematian remaja itu bukan satu perkara kecil dan perlu disiasat secara menyeluruh tanpa mengira latar belakang individu yang terlibat, termasuk jika mereka merupakan anak atau saudara kepada tokoh berpangkat tinggi.

“Ada bukti, ambil tindakan. Ada satu kematian baru-baru ini. Menteri Pendidikan diserang. Apa jadi negara kita ini? Ooo anak orang itu, anak orang ini, saudara-saudari, kematian ini bukan sesuatu yang ringan.

“Saya bicara terus dengan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail supaya buat siasatan segera yang mungkin, cari segala fakta dan mereka selesaikan. Dah 60 orang sudah diambil keterangan,” katanya.

Anwar turut menegaskan bahawa keadilan perlu ditegakkan tanpa kompromi terhadap kedudukan atau hubungan pelaku dengan mana-mana tokoh.

“Ini kita harus ingat, negara ini negara hukum, bukan negara fitnah. Siapa yang terlibat tidak peduli siapa, Tan Sri, Datuk Seri, menteri, kalau terlibat dalam jenayah pembunuhan atau bersekongkol, tidak akan diberi perlindungan.

“Tetapi jangan fitnah anak menteri, saudara timbalan perdana menteri, ketua menteri. Apa telah jadi?” katanya lagi dalam nada kesal.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penutupan Majlis Hari Peladang, Penternak dan Nelayan Kebangsaan (HPPNK) di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) di sini, hari ini.

Dalam ucapannya Anwar menegaskan bahawa beliau memandang serius kes terbabit dan telah dimaklumkan bahawa laporan siasatan lengkap telah pun diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara.

 

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button