SPRM sita barangan mewah bernilai RM16 juta, termasuk jongkong emas dan alatan kasino
KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyita pelbagai barangan mewah bernilai RM16 juta termasuk jongkong emas, berlian dan alatan kasino, dalam siasatan penyelewengan dana sukuk bagi projek pembinaan lebuh raya.
Bahagian Komunikasi Strategik SPRM dalam satu kenyataan hari ini berkata, sitaan dilakukan hasil penggeledahan di kediaman seorang individu bergelar Tan Sri di Bandar Tasik Selatan, Cheras semalam.
“Antara barangan yang disita termasuk 84 beg tangan mewah bernilai RM3 juta, 11 utas jam tangan berjenama berjumlah RM1 juta, serta jongkong, syiling dan patung emas yang bernilai RM3 juta.
“Turut disita ialah berlian dan barangan kemas bernilai RM4 juta serta satu set alatan kasino berjenama mewah dengan nilai RM150,000,” katanya.
Menurut SPRM, pihaknya turut menemui sebuah bilik kebal rahsia yang dipercayai digunakan sebagai tempat simpanan senjata dan peluru.
Bagaimanapun, tiada sitaan dibuat terhadap senjata tersebut kerana ia didaftarkan atas nama sebuah syarikat keselamatan milik individu berkenaan.
“Penggeledahan itu turut melibatkan pasukan taktikal Anti Corruption Tactical Squad (ACTS) yang ditugaskan mengiringi pegawai penyiasat dan menjamin keselamatan sepanjang operasi.
“Pasukan ACTS digerakkan susulan maklumat berhubung kewujudan bilik rahsia yang menyimpan barangan berharga termasuk senjata berkaitan siasatan penyelewengan dana sukuk,” jelas kenyataan itu lagi.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki mengesahkan nilai keseluruhan sitaan yang dibuat dalam operasi tersebut mencecah RM16 juta.
Menurut beliau, tidak menolak kemungkinan lebih banyak sitaan akan dilakukan dalam masa terdekat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








