Azam Baki nafi dakwaan ahli perniagaan, beri keterangan hampir dua jam di Bukit Aman
KUALA LUMPUR – Bekas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki menafikan semua dakwaan yang dibuat terhadapnya oleh ahli perniagaan, Albert Tei ketika memberi keterangan kepada polis di Bukit Aman hari ini.
Azam berkata, beliau turut mengemukakan bukti kepada pegawai penyiasat bahawa dirinya tidak pernah bertemu atau berurusan secara langsung dengan Tei seperti yang didakwa.
“Saya memaklumkan kepada polis bahawa saya tidak pernah bertemu dengan Tei atau membuat sebarang perjanjian dengannya. Saya juga tidak pernah menghantar mana-mana peguam untuk bertemu dengan mana-mana pihak yang berkaitan dengannya.
“Saya turut menyerahkan bukti kepada penyiasat bahawa saya tidak pernah berjumpa atau berurusan dengan Tei,” katanya memetik laporan New Straits Times.
Menurut beliau, sesi rakaman percakapan itu berlangsung selama kira-kira dua jam selepas beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Bukit Aman sekitar pukul 9 pagi.
“Saya hadir ke Bukit Aman pada pukul 9 pagi dan memberikan kerjasama penuh kepada pegawai penyiasat. Sesi berkenaan mengambil masa kira-kira dua jam,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan polis akan mengambil keterangan Azam sebagai sebahagian daripada siasatan berhubung dakwaan yang dibuat oleh ahli perniagaan berkenaan.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk M. Kumar dilaporkan berkata, Tei membuat laporan polis pada 13 Mei lalu dengan mendakwa dirinya diugut melalui peguamnya.
Menurut beliau, polis turut merakam keterangan daripada Tei serta individu yang didakwa bertindak sebagai peguam yang menyampaikan ugutan tersebut.
Katanya, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








