SPRM Johor, PDRM perkukuh sinergi penguatkuasaan dan integriti
JOHOR BAHRU – Memperkukuh sinergi antara agensi penguatkuasaan merupakan antara langkah penting dalam memastikan integriti, ketelusan dan akauntabiliti terus menjadi teras penyampaian perkhidmatan kepada masyarakat.
Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor, Datuk Hazrul Shazreen Abd Yazid berkata, dalam aspek pencegahan, usaha meningkatkan kesedaran berkaitan kesalahan rasuah turut diberi perhatian menerusi perancangan kempen kesedaran berkaitan kesalahan di bawah Seksyen 17(b) Akta SPRM 2009 yang dijangka dilaksanakan pada tahun depan.
“Komitmen berterusan ini diharap dapat membuka ruang kepada kerjasama lebih menyeluruh dan berkesan, selaras dengan aspirasi untuk membudayakan integriti serta memastikan kepentingan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad selepas dilantik sebagai Pengarah SPRM Johor berkuat kuasa 1 Oktober 2026 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, di sini hari ini.
Pertemuan kedua-dua pihak itu mencerminkan kepentingan hubungan strategik antara SPRM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) Johor dalam memperkukuh kerjasama berterusan khususnya dalam mendukung agenda pembanterasan rasuah.
Hadir sama, Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti, SAC Chuah Yong Huat; Ketua Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KJDNKA); SAC Muhd Zailani Abdullah; Ketua Cawangan Khas, SAC Noor Imran Abdul Rahman; Timbalan Pengarah Pencegahan SPRM Johor, PKPj Sheikh Hamadi Sheikh Abd Hamid; Ketua Siasatan Negeri, PKPj Rosli Ali dan Ketua Cawangan Pendidikan Masyarakat, PPj Mohd Ridzuan Bahrin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








