Polis siasat pengaruh Roblox dalam kes kanak-kanak dikelar
JOHOR BAHRU – Polis tidak menolak kemungkinan permainan video dalam talian popular, Roblox, menjadi antara punca insiden seorang kanak-kanak lelaki berusia enam tahun cedera parah akibat dikelar di leher dalam kejadian di Batu Pahat, kelmarin.
Ketua Polis Johor, Datuk Ab Rahaman Arsad berkata, siasatan awal mendapati kecederaan mangsa dipercayai dilakukan oleh abangnya yang berusia sembilan tahun.
Menurut beliau, siasatan turut menemui kemungkinan motif kejadian berpunca daripada aplikasi permainan Roblox yang dimiliki oleh suspek berkenaan.
“Hasil siasatan awal mendapati kecederaan dialami mangsa berkemungkinan dilakukan oleh abangnya yang berusia sembilan tahun.
“Motif kejadian masih dalam siasatan, namun ada berkemungkinan ia mempunyai kaitan yang mana abang mangsa memiliki satu aplikasi permainan dalam telefon pintarnya, iaitu Roblox,” katanya memetik laporan Buletin TV3, hari ini.
Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Perhimpunan Bulanan Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini, hari ini.
Ab Rahaman berkata, mangsa kini dirawat di Hospital Batu Pahat dan dilaporkan stabil.
“Kedua-dua kanak-kanak itu kini di bawah pengawasan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) kerana masih bawah umur. Kertas siasatan telah dirujuk kepada Penasihat Undang-Undang Negeri Johor untuk tindakan lanjut,” katanya.
Mengulas lanjut, Ab Rahaman berkata, hasil siasatan awal mendapati abang mangsa telah bermain Roblox secara berlebihan dan berjaya mengumpul kira-kira satu juta mata dalam permainan itu.
Namun, beliau berkata, mangsa dipercayai telah merosakkan telefon abangnya sehingga mata dikumpulkan dalam permainan itu hilang.
“Berdasarkan hasil soal siasat dalam siasatan awal, abang mangsa berkemungkinan mengalami kesan daripada permainan itu.
“Dia seperti mengalami halusinasi pada waktu malam dan seolah-olah disuruh untuk mencederakan ahli keluarganya.
“Abang mangsa dipercayai mengambil sebilah pisau yang ada dalam rumah itu dan mencederakan adiknya sendiri.
“Namun apa-apa pun, polis masih menjalankan siasatan lanjut,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira jam 5.30 pagi Isnin lalu, mangsa ditemui dalam keadaan berlumuran darah dengan kesan kelar pada leher kanan dan luka tikaman pada badan.
Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, sebelum ini memaklumkan insiden disedari ibu mangsa yang terjaga dari tidur dan mendapati anaknya cedera parah sebelum dibawa ke Hospital Sultanah Nora Ismail (HSNI) untuk rawatan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








