BERITA SEMASA

Anak bekas Presiden Pas kemudi jawantankuasa pemulihan kanak-kanak GISBH

KUALA LUMPUR – Ustaz Ahmad Fauwaz Fadzil dilantik sebagai pengerusi jawatankuasa khas untuk mengendalikan silibus pemulihan akidah kanak-kanak GlSB Holdings Sdn Bhd (GISBH) yang diselamatkan pihak berkuasa baru-baru ini.

Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar, pemilihan Ahmad Fauwaz adalah berdasarkan kepakaran beliau dalam bidang akidah.

“Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) diamanahkan untuk membangunkan modul silibus pemulihan mereka yang diselamatkan ini dan kita menubuhkan jawatankuasa bagi tujuan itu.

“Ahmad Fauwaz adalah individu yang mempunyai kepakaran dalam bidang akidah dan begitu juga ahli jawatankuasa yang lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas perasmiaan World Quran Symposium 2024 sempena Majlis Tilawah dan Hafazan Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-64 1446H/2024M, di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof.

Sebagai rekod, Ahmad Fauwaz yang juga anak kepada bekas Presiden Pas, Allahyarham Fadzil Mohd Noor adalah Ahli Lembaga Pengarah Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP).

Pada 10 September lalu, polis berjaya menyelamatkan kanak-kanak dan remaja berusia antara satu hingga 17 tahun yang dipercayai dieksploitasi di 20 rumah kebajikan dikaitkan syarikat itu di Selangor dan Negeri Sembilan dalam Op Global.

Sebelum ini, Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil memaklumkan 662 kanak-kanak yang diselamatkan daripada rumah amal dikaitkan dengan GISBH kini dalam jagaan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button