BERITA SEMASA

Mufti Kedah digesa tampil beri panduan isu ‘doa pecah perut’

ALOR SETAR – Mufti Kedah, Datuk Syeikh Fadzil Awang digesa tampil memberikan panduan serta pencerahan berhubung kenyataan Menteri Besar, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor yang didakwa mengajak orang ramai mendoakan keburukan terhadap individu tertentu.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (AMANAH), Datuk Mahfuz Omar berkata, kepekaan institusi agama amat diperlukan berikutan isu tersebut bukan lagi sekadar pertikaian politik berhubung lesen perjudian, sebaliknya sudah menyentuh aspek adab dan akhlak dalam Islam.

Menurutnya, beliau tidak berhasrat mendahului institusi berkenaan dalam menentukan hukum, namun Mufti Kedah wajar memberikan penjelasan agar masyarakat tidak keliru mengenai batas ketika berbeza pandangan.

“Saya tidak mahu menentukan hukum bagi pihak Mufti. Tetapi justeru kerana ini menyentuh soal agama dan akhlak, Mufti Kedah tidak wajar berdiam diri,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Kontroversi tercetus selepas Muhammad Sanusi dilaporkan mengeluarkan kenyataan tegas susulan keputusan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan kerajaan negeri untuk merayu keputusan berkaitan lesen premis perjudian di Kedah.

Dalam ucapannya, beliau didakwa menggunakan perkataan seperti ‘celaka’ dan ‘pecah perut’, sekali gus mengundang kritikan pelbagai pihak termasuk parti pembangkang serta badan bukan kerajaan (NGO).

Mahfuz berkata, institusi agama perlu memperincikan sama ada syariat Islam membenarkan seorang pemimpin menyeru masyarakat mendoakan kemudaratan ke atas pihak yang tidak dipersetujuinya.

Beliau turut mempersoalkan sama ada mendoakan seseorang musnah secara fizikal selari dengan akhlak Islamik serta tradisi adab ilmu di Kedah.

“Kita perlu menolak judi tanpa mendoakan orang pecah perut. Kita boleh menentang dasar tanpa memaki manusia. Kita boleh menang atau kalah di mahkamah tanpa kehilangan akhlak,” katanya lagi.

Tambah Mahfuz, sebarang pertikaian undang-undang sepatutnya diselesaikan menerusi mahkamah dan saluran Perlembagaan, bukannya dibiarkan melarat menjadi kebencian peribadi yang merosakkan budaya politik generasi muda.

Justeru, beliau berharap Mufti Kedah dapat menilai isu berkenaan secara berkecuali demi mempertahankan integriti nilai Islam, bukannya dilihat sebagai pertembungan politik semata-mata.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button