POLITIK

Jika dahulu tebuk atap rumah orang lain, kini atap rumah sendiri pula ditebuk – Mahfuz

KUALA LUMPUR – Kemelut politik yang melanda negeri Perlis ketika ini disifatkan jauh lebih “panas” daripada suhu cuaca negeri tersebut apabila berlaku pertembungan terbuka dalam kalangan pimpinan kerajaan negeri sendiri yang diterajui Perikatan Nasional (PN) dan PAS.

Naib Presiden Parti AMANAH, Datuk Mahfuz Omar berkata, apa yang berlaku di Perlis bukan lagi sekadar perbezaan pandangan, sebaliknya mencerminkan kegagalan total PAS dan PN dalam mentadbir apabila diberi kuasa tanpa disiplin serta keupayaan pengurusan yang berkesan.

“Situasi hari ini memperlihatkan Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) PN berhadapan dengan Menteri Besar daripada PN sendiri, manakala ADUN PAS pula bertembung sesama PAS. Ini adalah perang terbuka dalam sebuah kerajaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Mahfuz, krisis berkenaan bukan isu baharu, sebaliknya telah berlarutan lebih setahun tanpa penyelesaian walaupun pelbagai langkah diambil termasuk pertukaran Pesuruhjaya PAS negeri, pelantikan Pengerusi PN baharu serta rundingan tertutup.

“Semua usaha itu gagal kerana punca sebenar krisis ialah perebutan kuasa dalaman PAS serta kegagalan PN mengawal gabungan sendiri,” katanya.

Pas
Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengumumkan keahlian Saad Seman, ADUN Chuping; Fakhrul Anwar Ismail, ADUN Bintong (tengah); dan Mohd Ridzuan Hashim, ADUN Guar Sanji (kiri) terhenti selepas bertindak menarik sokongan terhadap Menteri Besar.

Beliau turut menyifatkan keadaan itu amat memalukan memandangkan Perlis merupakan negeri paling kecil di Malaysia, baik dari segi keluasan mahupun jumlah penduduk, namun muncul sebagai antara negeri paling tidak stabil dan bercelaru dari sudut tadbir urus politik.

“Jika negeri sekecil ini pun gagal diurus dengan baik, ini bukan soal cabaran, tetapi soal ketidaklayakan,” ujarnya.

Mahfuz menambah, apa yang berlaku hari ini merupakan episod politik “tebuk atap” paling hina, apabila pemimpin sendiri meruntuhkan kerajaan yang mereka bina.

“Jika dahulu mereka menebuk atap rumah orang lain, kini atap rumah sendiri pula yang ditebuk. Tiada tekanan luar, tiada musuh politik.

“Kerajaan PN di Perlis sedang mengkhianati mandat rakyat akibat kerakusan kuasa dan perebutan sesama sendiri,” katanya.

Beliau turut mengkritik PAS yang selama ini mendakwa membawa politik Islam dan moral tinggi, namun gagal mengurus konflik dalaman secara beretika dan berintegriti.

“Agama dilaungkan di pentas, tetapi kuasa direbut di belakang tabir. Ini telah merosakkan imej politik Islam itu sendiri,” ujar beliau.

Mahfuz menegaskan, apabila ADUN daripada parti dan gabungan yang sama hilang kepercayaan terhadap kepimpinan sendiri, ia adalah tanda kegagalan kepimpinan yang amat serius.

“PAS dan PN sudah hilang autoriti moral untuk bercakap soal kestabilan, integriti dan tadbir urus negara,” katanya.

Beliau turut menyuarakan kebimbangan bahawa rakyat Perlis kini menjadi mangsa kepada perbalahan dalaman yang tidak berkesudahan, menyebabkan pentadbiran negeri terabai, keyakinan rakyat merosot dan imej politik Islam tercalar.

“PAS gagal mentadbir, PN gagal mengawal. Negeri sekecil Perlis pun kelaut. Yang runtuh bukan musuh mereka, tetapi keupayaan mereka sendiri untuk memerintah,” katanya.
Beliau mengakhiri kenyataan dengan seruan agar mandat rakyat dipulihkan demi masa depan negeri Perlis,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button