BERITA SEMASA

Belanjawan Perlis 2026 belum jamin masa depan belia – AMK

KANGAR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis menyifatkan pembentangan Belanjawan Negeri Perlis 2026 masih belum memberikan jaminan yang jelas terhadap masa depan golongan belia, meskipun kerajaan negeri mengumumkan inisiatif melibatkan pembangunan ekonomi dan pelaburan.

Ketua AMK Perlis, Azzin Izzad Bahanudin berkata, tumpuan kerajaan negeri dilihat lebih terarah kepada projek berskala besar, namun manfaat langsung kepada belia tempatan tidak diperincikan secara konkrit, khususnya dalam aspek peluang pekerjaan.

Menurut beliau, belanjawan tersebut gagal menetapkan sasaran terukur seperti jumlah peluang pekerjaan baharu untuk anak muda Perlis, tahap gaji yang ingin dicapai serta keutamaan pengambilan tenaga kerja tempatan.

“Tanpa penetapan petunjuk prestasi utama (KPI) yang jelas, pembangunan berisiko hanya kelihatan gah di atas kertas, sedangkan belia terus berdepan ketidakpastian dari segi pekerjaan dan masa depan,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Mengulas mengenai pendigitalan, Azzin Izzad mengakui usaha kerajaan negeri memperluaskan penggunaan sistem digital dan tanpa tunai, namun menegaskan pendekatan tersebut masih belum menyeluruh dan berisiko menyebabkan belia luar bandar serta daripada keluarga berpendapatan rendah tercicir.

“Pelaksanaan pendigitalan perlu disertai sokongan latihan kemahiran dan akses yang mencukupi bagi memastikan semua lapisan belia mampu menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi,” katanya lagi.

Dalam pada itu, beliau turut membangkitkan isu tekanan kos sara hidup belia, khususnya berkaitan pemilikan rumah.

“Walaupun belanjawan ada menyentuh perumahan rakyat, keperluan belia untuk memiliki rumah pertama masih belum diberikan perhatian yang memadai.

“Peningkatan kadar caj pemajuan yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2026 berpotensi meningkatkan kos perumahan. Tanpa langkah imbangan khusus kepada belia, anak muda akan terus berdepan kesukaran untuk memiliki rumah di negeri sendiri,” katanya lagi.

Sehubungan itu, AMK Perlis berpandangan keutamaan perbelanjaan negeri perlu diseimbangkan antara pembangunan fizikal dan pelaburan terhadap pembangunan modal insan muda, termasuk penyediaan dana keusahawanan belia, latihan kemahiran serta program penempatan pekerjaan yang benar-benar berimpak.

“Belia merupakan aset utama masa depan Perlis. Pembangunan negeri hanya bermakna sekiranya ia mampu menjamin pekerjaan, kemahiran dan kehidupan yang lebih stabil kepada generasi muda,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button