BERITA SEMASA

NADI bantu pembangunan belia Sabah

PUTATAN – Peranan Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) terus diperkukuh sebagai platform penting dalam membangunkan potensi dan masa depan golongan belia di Sabah, bukan sekadar penyediaan akses Internet seperti sebelum ini.

Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul berkata, NADI kini berubah menjadi ruang pembelajaran kondusif yang membimbing anak muda memperoleh kemahiran baharu, memahami teknologi serta membuka peluang kerjaya.

Menurutnya, kejayaan belia Sabah melalui program Perkhidmatan Pintar anjuran NADI termasuk penyertaan dalam pertandingan keselamatan siber, penglibatan dalam TVET kreatif serta kejayaan usahawan muda memasarkan produk tempatan membuktikan impak besar pusat itu kepada komuniti.

NADI bantu pembangunan belia Sabah
Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Tan Sri Dr. Johari Abdul melawat pempamir pada progaram hari ini

“Kisah-kisah ini menunjukkan potensi besar belia Sabah apabila diberi ruang, sokongan dan persekitaran pembelajaran yang sesuai,” katanya ketika menghadiri Program Hari Bersama Komuniti (HBK) di NADI Kampung Kopimpinan, Putatan, hari ini.

Program itu merupakan sesi kedua beliau bersama kelompok belia di Sabah selepas program “Kupi-Kupi Sama Speaker Bah!” di NADI Bandar Putra, dan akan diteruskan ke NADI Dermaga.

Johari turut menyatakan hasrat agar NADI berkembang sebagai platform utama melatih generasi muda memahami demokrasi serta proses membuat keputusan dalam negara.

“Setakat September 2025, 131 pusat NADI beroperasi di seluruh Sabah dengan jumlah kos operasi sekitar RM210 juta bagi tempoh lima tahun,” katanya lagi.

Beliau berkata, melalui inisiatif seperti Program Sekolah Parlimen, Parlimen Belia dan kerjasama bersama Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), NADI mempunyai potensi menjadi pusat rujukan kepimpinan yang melahirkan belia berani bersuara, kritis dan mampu mewakili masyarakat.

Jelas beliau, pembangunan belia juga perlu menekankan keseimbangan antara penguasaan teknologi, pembentukan nilai diri, etika digital dan tanggungjawab sebagai warganegara.

Lawatan kerjanya di Sabah hari ini mengukuhkan keyakinan kerjasama berterusan antara kerajaan, agensi pelaksana dan komuniti setempat akan terus memperkasakan belia melalui program yang inklusif serta memberi impak jangka panjang.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button