BERITA SEMASA

MCMC sasar lahirkan jurutera arahan AI di setiap NADI

KUALA LUMPUR – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menyasarkan untuk melahirkan seorang jurutera arahan(prompt engineer) kecerdasan buatan (AI) di setiap Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) di seluruh negara menerusi program ‘iPrompt Engineer, iNADI’, bagi memperluaskan akses masyarakat terhadap teknologi digital.

Inisiatif itu dilaksanakan bagi memperkasa literasi AI dalam kalangan komuniti, khususnya di luar bandar, sekali gus membolehkan orang ramai mendapatkan bimbingan berkaitan teknologi berkenaan tanpa perlu mengikuti kursus berbayar.

Ketua Pejabat NADI MCMC, Dr Mohd Arif Adenan, berkata peserta program akan mengikuti latihan intensif menggunakan modul khas yang diiktiraf Akademi MIMOS (Institut Sistem Mikroelektronik Malaysia) sebelum berperanan sebagai ejen perubahan untuk membimbing komuniti memanfaatkan teknologi AI secara selamat dan bertanggungjawab.

“Maknanya, kalau komuniti nak tahu tentang AI, dia tak perlu menghadiri kelas bayar mahal-mahal, sebaliknya dia boleh rujuk kepada prompt engineer yang ditempatkan di setiap NADI.

“Hasrat kita ialah melahirkan bakat AI di kawasan luar bandar sekali gus memberi peluang kepada anak muda bekerja secara jarak jauh dari tempat tinggal masing-masing, tanpa perlu berhijrah ke bandar semata-mata untuk mendapatkan peluang pekerjaan,” katanya kepada BERNAMA baru-baru ini.

Beliau berkata, kewujudan jurutera arahan di setiap NADI bukan sahaja mampu meningkatkan literasi AI dalam kalangan masyarakat, malah membantu mengelakkan penyalahgunaan teknologi serta mengurangkan risiko penipuan dalam talian.

Katanya, program itu adalah sebahagian daripada transformasi NADI 2.0 yang memperluaskan fungsi pusat berkenaan daripada sekadar menyediakan capaian internet kepada hab pembangunan komuniti menerusi lima teras Perkhidmatan Pintar NADI.

Lima teras itu meliputi keusahawanan, pembelajaran sepanjang hayat, kesihatan, kesedaran digital dan keselamatan siber serta penyebaran maklumat berkaitan inisiatif kerajaan.

Menurut beliau, sejak Perkhidmatan Pintar NADI diperkenalkan pada September 2024, lebih 21,000 ahli komuniti menyertai program keusahawanan yang turut membantu mereka mendapatkan akses kepada pembiayaan, pensijilan halal dan penambahbaikan pembungkusan produk.

Dalam bidang pendidikan pula, seramai 42,000 pelajar mengikuti Program Tuisyen Rakyat secara percuma, dengan 65 pelajar daripada golongan B40 berjaya memperoleh keputusan semua A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) baru-baru ini.

Bagi perkhidmatan kesihatan, beliau berkata lebih 147,000 pemeriksaan kesihatan asas meliputi tekanan darah, paras gula dan indeks jisim badan (BMI) telah dilaksanakan di NADI di seluruh negara.

“Melalui NADI 2.0, kita ubah pendekatan daripada inward kepada outward yang menjadikan bangunan NADI sebagai nukleus.

Orang ramai tidak perlu lagi datang ke NADI untuk mendapatkan perkhidmatan yang disediakan.

Contohnya, NADI on Wheels (NOW) yang dilengkapi teknologi satelit dan pelbagai gajet digerakkan ke kawasan pedalaman termasuk rumah anak yatim, selain ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Melaka baru-baru ini bagi meningkatkan capaian Internet untuk mangsa banjir,” katanya.

Beliau berkata, MCMC turut memperluas akses kepada perkhidmatan menerusi portal nadi.my, yang membolehkan orang ramai mendapatkan kandungan pembelajaran, latihan keusahawanan dan modul digital secara dalam talian.

Katanya, pendekatan itu melengkapkan usaha menjadikan NADI sebagai hab transformasi digital komuniti yang terus relevan seiring perkembangan teknologi dan keperluan rakyat.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button