AUTOMOTIF & TEKNOLOGI

Perlumbaan teknologi kuantum bermula, Malaysia perlu perkukuh penyelidikan

KUALA LUMPUR – Malaysia perlu membangunkan sendiri asas teknologi kuantum termasuk sumber cahaya, pengesan dan sistem komunikasi sebelum mampu mewujudkan ekosistem kuantum yang berdaya saing di peringkat global.

Pensyarah Jabatan Fizik, Fakulti Sains Universiti Malaya, Prof Dr Raymond Ooi berkata, pembangunan teknologi kuantum tidak boleh bergantung sepenuhnya kepada pembelian peralatan sedia ada kerana negara perlu membina kepakaran dan infrastruktur sendiri bagi memastikan teknologi itu dapat dikembangkan dalam jangka panjang.

Beliau berkata, Malaysia sebenarnya sudah mempunyai asas penyelidikan kuantum sejak beberapa tahun lalu termasuk usaha berkaitan kriptografi kuantum oleh MIMOS, selain penyelidikan dalam bidang kuantum dan laser yang diperkukuh sejak 2011.

“Untuk mempunyai ekosistem kuantum di Malaysia, kita perlu membangunkan teknologi daripada asas. Kita tidak boleh membeli semuanya kerana pembangunan ini memerlukan blok binaan seperti sumber cahaya, pengesan dan komponen lain yang perlu dibangunkan sendiri.

“Ia memerlukan masa, sumber kewangan dan bakat untuk menghasilkan teknologi yang boleh digunakan dalam persekitaran sebenar,” katanya selepas sesi dialog Quantum Technology and Communication – Architecture and Innovation, A Forward Approach.

Sesi dialog itu diadakan sempena anjuran Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di ibu negara hari ini.

Baca juga : IRC 2026: Malaysia mahu bentuk piawaian digital global lebih selamat

Menurut beliau, antara cabaran terbesar dalam pembangunan teknologi kuantum di Malaysia adalah pembiayaan kerana peralatan penyelidikan bidang itu memerlukan kos yang tinggi.

Katanya, penyelidik bukan sekadar membeli sistem lengkap, sebaliknya perlu menggabungkan pelbagai komponen kecil untuk membangunkan sistem kuantum yang sesuai dengan keperluan negara.

“Peralatan kuantum bukan murah. Kita perlu membeli komponen tertentu dan membangunkan sistem itu sendiri, terutama bagi komunikasi kuantum jarak jauh,” katanya.

Beliau berkata, komunikasi kuantum jarak jauh menjadi antara komponen penting dalam pembangunan internet kuantum yang kini sedang diterokai banyak negara termasuk China dan Amerika Syarikat.

Katanya, walaupun terdapat syarikat antarabangsa yang sudah menawarkan produk seperti sistem Quantum Key Distribution (QKD), teknologi itu masih mempunyai batasan dari segi jarak penggunaan.

“Jika kita mahu komunikasi jarak jauh, kita memerlukan penyelidikan lebih mendalam terutama dalam pembangunan memori kuantum kerana ia adalah nadi kepada internet kuantum,” katanya.

Prof Dr Raymond berkata, penyelidikan teori berkaitan teknologi berkenaan sudah menunjukkan kemajuan, namun cabaran seterusnya adalah membawa hasil kajian itu ke peringkat eksperimen dan aplikasi sebenar.

Mengulas mengenai perkembangan komputer kuantum dunia, beliau berkata China dan Amerika Syarikat kini antara negara paling maju dalam perlumbaan membangunkan teknologi berkenaan, dengan syarikat seperti IBM dan Google turut melakukan pelaburan besar.

Katanya, komputer kuantum mempunyai potensi besar untuk mempercepatkan penyelesaian masalah kompleks yang sebelum ini mengambil masa bertahun-tahun untuk diselesaikan menggunakan komputer konvensional.

“Dalam bidang penyelidikan molekul atau protein, contohnya mencari ubat untuk penyakit seperti kanser, komputer kuantum berpotensi memberikan penyelesaian dalam tempoh beberapa hari atau minggu berbanding tempoh yang jauh lebih lama,” katanya.

Bagaimanapun, beliau memberi amaran teknologi itu juga mempunyai risiko sekiranya disalahgunakan, khususnya apabila komputer kuantum berkemampuan tinggi digunakan untuk memecahkan sistem keselamatan digital sedia ada.

“Jika teknologi ini jatuh ke tangan yang salah, ia boleh menjadi alat yang sangat berkuasa untuk tujuan negatif termasuk mencuri maklumat,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button