BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Kerajaan bakal bawa undang-undang AI ke Dewan Rakyat

KUALA LUMPUR – Kerajaan sedang mempergiat usaha menggubal undang-undang khusus bagi mengawal selia teknologi kecerdasan buatan (AI) sebagai persediaan menghadapi perkembangan pesat teknologi itu serta cabaran baharu yang dibawanya.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata, rangka perundangan berhubung AI sedang disediakan oleh Kementerian Digital sebelum dibawa ke peringkat Jemaah Menteri dan seterusnya ke Dewan Rakyat.

Menurut beliau, pelbagai cadangan yang dibincangkan menerusi Persidangan Kawal Selia Antarabangsa (IRC) 2026 akan dijadikan rujukan dalam menggubal undang-undang baharu atau menambah baik akta sedia ada.

“Banyak perbincangan mengenai teknologi baharu akan kita bawa ke peringkat Jemaah Menteri dan Ketua-Ketua Setiausaha supaya mana-mana undang-undang yang perlu dipinda atau digubal dapat dibawa ke Dewan Rakyat,” katanya pada sidang media selepas merasmikan IRC 2026 yang berlangsung di Hotel Shangri-La, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalannya, Teo Nie Ching; Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Abdul Halim Hazam dan Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din.

Menurut Fahmi, pendekatan tersebut penting bagi memastikan Malaysia memiliki rangka kerja perundangan yang menyeluruh untuk menangani risiko dan cabaran yang timbul daripada perkembangan teknologi AI, di samping terus menggalakkan inovasi secara bertanggungjawab.

Beliau berkata, pengalaman serta amalan terbaik yang dikongsi oleh pengawal selia dan pakar antarabangsa sepanjang persidangan itu akan membantu kerajaan merangka dasar yang lebih berkesan dan bersifat masa hadapan.

Fahmi turut menjelaskan bahawa Akta Keselamatan Dalam Talian (ONSA) menjadi contoh bagaimana perkongsian pengalaman dan perbincangan di forum antarabangsa seperti IRC berjaya diterjemahkan kepada dasar serta perundangan negara.

“Itu antara hasil yang lahir daripada perkongsian pandangan dan pengalaman melalui forum seperti IRC,” katanya.

IRC 2026 dianjurkan oleh MCMC yang telah memasuki tahun ketiga penganjurannya. Melalui program ini, ia mampu mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai hab dialog dasar digital, sekali gus menyokong aspirasi negara membangunkan ekosistem digital yang selamat, inklusif, dipercayai dan mampu memacu pertumbuhan ekonomi digital negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button