Isu Jalur Gemilang: Orang ramai diingatkan tidak bertindak melulu
KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan supaya tidak bertindak di luar batas undang-undang terhadap mana-mana pihak yang melakukan kesalahan berkaitan Jalur Gemilang.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, semua urusan siasatan, pendakwaan dan keputusan kes perlu diserahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa, susulan peringatan dikeluarkan Jabatan Peguam Negara (AGC) semalam.
“Jangan kita bertindak menjadi polis, peguam dan hakim (kerana) itu salah, jadi serah kepada pihak polis untuk siasat, serah kepada Jabatan Peguam Negara untuk mendakwa dan serah kepada mahkamah untuk buat keputusan,” katanya.
Fahmi berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Majlis Peluncuran Bulan Kebangsaan dan Kibar Jalur Gemilang 2025 Peringkat Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya di Institut Pendidikan Guru Kampus Bahasa Melayu (IPG), Lembah Pantai, hari ini.
Hadir sama, Timbalan Ketua Setiausaha (Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif) Kementerian Komunikasi, Nik Kamaruzaman Nik Husin; Ketua Pengarah Jabatan Penerangan Malaysia, Julina Johan; dan Pengarah IPG Kampus Bahasa Melayu Kuala Lumpur, Dr. Masitah Mohammad Yusof
Fahmi turut mengajak rakyat Malaysia memainkan peranan dalam membetulkan semula sebarang kesilapan berkaitan Jalur Gemilang tanpa sebarang tindakan provokasi.
“Sebagai rakyat Malaysia, kita juga boleh mainkan peranan. Sekiranya kita melihat Jalur Gemilang jatuh, kita angkatkan balik. Sekiranya pudar, kita gantikan dengan yang baharu. Sekiranya ia dipasang dengan cara yang tidak betul, kita betulkan dengan tangan kita sendiri.
“Jangan kita mencemuh, memaki hamun, kita bertindak secara tidak beradab kerana dalam Bulan Kebangsaan ini kita perlu mengambil satu sikap untuk sama-sama menggelorakan semangat kebangsaan tetapi pada masa yang sama kita saling ingat-mengingati sesama kita,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








