BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Kempen Internet Selamat perkukuh kesedaran siber pelajar Tingkatan Enam

INANAM – Seramai 756 pelajar Kolej Tingkatan Enam (Prauniversiti) Kota Kinabalu hari ini menyertai Kempen Internet Selamat (KIS) dalam usaha memperkukuh kesedaran terhadap keselamatan siber serta membentuk budaya penggunaan internet secara beretika dan bertanggungjawab.

Kempen tersebut merupakan anjuran Kementerian Komunikasi melalui Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Fahmi bersama pelajar OKU yang menyertai program tersebut.

Majlis yang diadakan di Dewan Citra, Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu itu turut dihadiri oleh Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil yang menyempurnakan pelancaran program berkenaan.

“Program KIS memberi penekanan kepada isu-isu semasa berkaitan keselamatan siber seperti penipuan dalam talian, buli siber, perkongsian maklumat peribadi dan penularan maklumat palsu.

“Melalui pendekatan interaktif, para pelajar didedahkan kepada kaedah mengenal pasti risiko siber, memahami taktik manipulasi penipuan serta menilai kesahihan maklumat sebelum dikongsi,” kata Fahmi dalam kenyataan.

Tambah beliau, para peserta turut diberi pendedahan mengenai kepentingan mengamalkan sikap berhemah di media sosial.

“Ini termasuklah mengelakkan perkongsian maklumat peribadi secara berlebihan yang boleh menimbulkan risiko keselamatan dan penyalahgunaan data.

Gelagat para pelajar yang teruja mengikuti acara sempena Kempen Internet Selamat di sekolah mereka.

“Kempen ini mencerminkan komitmen berterusan MCMC dalam memperkasa masyarakat digital yang celik teknologi, beretika dan sejahtera di ruang siber,” ujar beliau.

KIS kini giat diperluas ke institusi pendidikan di seluruh Sabah.

Setakat Oktober 2025, sebanyak 4,734 institusi pendidikan di seluruh negara telah menyertai kempen ini termasuk 434 institusi di negeri Sabah.

Turut hadir pada majlis tersebut ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi, Datuk Seri Mohamad Fauzi Md Isa; Timbalan Pengarah Urusan (Kawal Selia dan Korporat) MCMC, Datuk Zurkarnain Mohd Yasin serta Pengetua Kolej Tingkatan Enam Kota Kinabalu, Suhaibul Kassim.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button