Malaysia, Indonesia sepakat perkukuh kerjasama dalam komunikasi, media dan infrastruktur digital
TOKYO – Malaysia dan Indonesia akan terus memperkukuh kerjasama dalam bidang komunikasi, media dan infrastruktur digital.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pertemuan beliau dengan Menteri Komunikasi dan Digital Indonesia, Meutya Viada Hafid yang sebelum ini tertangguh beberapa kali, berjaya direalisasikan di sini dan berlangsung dalam suasana penuh semangat kerjasama serantau.
“Kami menyentuh pelbagai aspek penting dalam kerjasama dua hala, terutamanya dalam komunikasi, media dan infrastruktur digital, selari dengan landskap maklumat masa kini yang kian mencabar dan saling bergantung di peringkat serantau,” kata Fahmi dalam satu hantaran di akaun Facebook miliknya, hari ini.
Tambah beliau, antara perkara utama yang dipersetujui ialah usaha memperkukuh kerjasama strategik antara BERNAMA (Malaysia) dan ANTARA (Indonesia) yang merangkumi pertukaran bahan berita, liputan rentas sempadan, serta perkongsian sumber dan latihan profesional.
“(Langkah) Ini penting dalam memastikan kedua-dua agensi kekal relevan, berwibawa, dan berupaya menyampaikan maklumat yang tepat serta seimbang kepada rakyat di negara masing-masing,” kata Fahmi lagi.
Selain itu, katanya, kedua-dua pihak turut menekankan peranan penting Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) dalam mempererat hubungan media kedua-dua negara.
“ISWAMI bukan sahaja menjadi jambatan memperkukuh jaringan wartawan profesional, tetapi juga memainkan peranan sebagai pemangkin kepada pemahaman dan persefahaman dalam kalangan rakyat melalui penceritaan yang lebih inklusif dan berpandangan jauh,” jelas beliau.
Tambahnya lagi, kedua-dua pihak turut optimis menerusi semangat kejiranan dan nilai bersama yang utuh, kerjasama dalam bidang komunikasi akan dapat terus diperluas demi manfaat rakyat Malaysia dan Indonesia.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








