BERITA SEMASAPMX

PM Kemboja ulangi pujian kepada Malaysia dalam rundingan gencatan senjata

PHNOM PENH – Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet merakamkan penghargaan tinggi kepada kerajaan Malaysia atas kejayaan menganjur dan menyelaras rundingan damai antara negara itu dan Thailand yang berakhir dengan persetujuan gencatan senjata tanpa syarat, berkuat kuasa tengah malam tadi.

Dalam kenyataan susulan pertemuan bersama Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, Hun Manet menyifatkan hasil pertemuan yang dimediasi oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai kejayaan besar ke arah meredakan ketegangan ketenteraan yang sedang berlaku di sempadan kedua-dua negara.

“Saya mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada Yang Amat Berhormat Perdana Menteri Anwar Ibrahim kerana mengambil inisiatif menyelaras dan menjadi tuan rumah rundingan penting ini,” kata Hun Manet dalam satu hantaran di Facebooknya.

Menurut beliau, rundingan yang berlangsung di Putrajaya itu turut berjaya menetapkan tiga keputusan utama iaitu gencatan senjata serta-merta tanpa syarat, mesyuarat tidak rasmi komander tentera wilayah dari kedua-dua negara disusuli pertemuan lanjutan bersama atase pertahanan diketuai oleh Pengerusi ASEAN dan mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (GBC) yang akan dianjurkan oleh Kemboja pada 4 Ogos ini.

Dalam pada itu, Hun Manet turut merakamkan penghargaan kepada Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump dan kerajaan China atas sokongan berterusan mereka terhadap proses damai dan peranan aktif dalam penganjuran mesyuarat khas tersebut.

“Saya percaya bahawa perjanjian gencatan senjata ini merupakan asas kukuh dalam membina kepercayaan bersama dan menambah baik keadaan ke arah pemulihan seperti sediakala pada masa hadapan,” katanya.

Malaysia, melalui inisiatif diplomatik yang dipelopori selaku Pengerusi ASEAN, kini dilihat memainkan peranan signifikan sebagai perantara serantau yang berwibawa, memperkukuh kedudukan sebagai pemangkin keamanan dan kestabilan serantau.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button