Gempa Pulau Flores: Angka korban meningkat kepada 20 orang
MAUMERE – Angka korban gempa bumi kuat di Pulau Flores meningkat kepada sekurang-kurangnya 20 orang, manakala enam lagi cedera dan dua masih dipercayai tertimbus di bawah runtuhan, selepas gempa bermagnitud 7.7 melanda kepulauan berkenaan hari ini.
Pasukan penyelamat kini giat menjalankan operasi mencari dan menyelamat mangsa di sebalik runtuhan bangunan di beberapa kawasan terjejas, termasuk Nagekeo yang dilaporkan paling hampir dengan pusat gempa.
Pegawai penyelamat, Fathur Rahman berkata, 20 mangsa disahkan maut dari empat daerah berbeza di pulau berkenaan.
“Daripada laporan yang kami terima, 20 orang maut, enam cedera dan dua lagi masih tertimbus,” katanya kepada AFP ketika dalam perjalanan menaiki bot menuju Kabupaten Nagekeo.
Beliau berkata, usaha menyelamat turut tertumpu kepada dua mangsa yang dipercayai masih hidup tetapi terperangkap di bawah runtuhan di Kabupaten Manggarai.
“Keutamaan kami adalah mencari mangsa yang tertimbus di bawah runtuhan,” katanya, sambil memaklumkan operasi berdepan kesukaran apabila beberapa laluan terputus akibat tanah runtuh.
Sementara itu, penduduk di Nagekeo yang paling hampir dengan pusat gempa bergegas menuju ke kawasan lebih tinggi selepas paras air laut dilaporkan surut secara mendadak, sekali gus mencetuskan kebimbangan kemungkinan tsunami.
Amaran tsunami yang dikeluarkan selepas gempa itu bagaimanapun kemudian ditarik balik, namun penduduk dinasihatkan supaya tidak kembali ke bangunan yang rosak kerana gegaran susulan boleh menyebabkan struktur terbabit runtuh.
Puluhan gegaran susulan turut direkodkan selepas gempa utama, dengan yang terkuat setakat ini bermagnitud 6.1.
Pihak berkuasa masih menjalankan penilaian kerosakan dan operasi mencari mangsa, manakala jumlah korban dijangka berubah apabila lebih banyak kawasan dapat diakses pasukan penyelamat.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








