Doktor rugi RM300,000, dakwa diperdaya bapa bekas penyanyi
AMPANG – Seorang pasangan doktor mendakwa mengalami kerugian RM300,000 selepas terpedaya dengan tawaran pelaburan projek Kad Prihatin Siswa yang didakwa membabitkan 20 universiti.
Mangsa yang mahu dikenali sebagai Dr Alia, 38, berkata lelaki bergelar Datuk yang juga bapa kepada bekas penyanyi itu mendakwa projek berkenaan mampu memberikan pulangan lumayan selain membantu lebih ramai orang Melayu mencapai kekayaan.
Menurutnya, lelaki terbabit turut mendakwa mempunyai hubungan dengan pegawai tertinggi kerajaan serta menunjukkan dokumen dan gambar yang kononnya membuktikan projek berkenaan sedang dilaksanakan bersama syarikat telekomunikasi dan pihak bank.
“Dia juga pernah menunjukkan surat yang kononnya sudah diminitkan kepada Timbalan Perdana Menteri.
“Sehingga kini saya tidak pasti projek itu ada atau tidak dan alasannya kononnya hendak bantu anak Melayu kongsi rezeki bersama,” memetik HM online.
Dr Alia berkata, beliau mengenali lelaki terbabit pada awalnya sebagai menantu kepada pesakitnya sebelum hubungan mereka menjadi rapat selepas beliau merawat ibu mentuanya.
“Lelaki itu kemudian sering mengajak beliau dan suami keluar minum pada hujung minggu sebelum mula bercerita mengenai perniagaan serta projek yang didakwa mempunyai hubungan dengan kerajaan.
“Ketika itu dia memujuk suami menjadi kumpulan dia bagi projek Kad Prihatin Siswa itu kononnya dia percaya dan ingin membantu suami jadi lebih berjaya dan kaya.
“Dia juga pernah hantar gambarnya sedang bermesyuarat dengan syarikat telekomunikasi dan pihak bank untuk projek itu,” katanya lagi.
Menurutnya, beliau dan suami mula membuat pelaburan sebanyak RM300,000 pada Ogos 2023, namun tidak pernah menerima semula pulangan seperti yang dijanjikan.
“Mereka hanya menyedari sesuatu yang tidak kena apabila lelaki terbabit meminta mereka menambah jumlah pelaburan dan memaksa untuk melabur lagi,” katanya lagi.
Susulan itu, Dr Alia membuat laporan di Balai Polis Ampang pada Rabu lalu untuk tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





