BERITA SEMASA

Risiko saman, aduan pesakit jadi cabaran baharu petugas kesihatan

KUALA LUMPUR – Golongan doktor dan petugas kesihatan di negara ini kini berdepan tekanan kerjaya yang semakin kompleks apabila perlu berdepan aduan, tindakan undang-undang serta siasatan daripada pesakit yang mahu menuntut hak mereka selepas mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

Perkembangan itu menjadikan aspek medikolegal atau isu perundangan dalam amalan perubatan sebagai antara cabaran utama yang perlu diberi perhatian oleh setiap pengamal kesihatan.

Bekas Pengarah Bahagian Etika dan Perundangan Majlis Perubatan Malaysia yang juga Pengasas IDEAL Advisory, Dr. Faizi Rosli berkata, peningkatan kesedaran masyarakat menyebabkan setiap keputusan rawatan bukan sahaja dinilai daripada sudut klinikal malah turut diteliti dari aspek undang-undang dan etika.

“Doktor dan petugas kesihatan hari ini bekerja dalam keadaan yang jauh lebih mencabar berbanding dahulu.

“Pesakit kini lebih tahu hak mereka. Setiap keputusan rawatan bukan sahaja dilihat dari sudut perubatan, tetapi juga dari sudut undang-undang dan etika,” katanya.

Menurut beliau, kebanyakan pertikaian yang berlaku bukan berpunca daripada kelemahan rawatan semata-mata, sebaliknya disebabkan komunikasi yang kurang jelas, dokumentasi rawatan yang tidak lengkap, salah faham mengenai persetujuan pesakit, isu kerahsiaan maklumat, sempadan profesional serta cara doktor membuat keputusan dalam situasi tertentu.

“Berdasarkan pengalaman saya, banyak aduan diterima bukan kerana doktor gagal memberikan rawatan yang sewajarnya, tetapi akibat penerangan yang tidak mencukupi atau dokumentasi yang lemah.

“Ada juga kes apabila pesakit tidak benar-benar memahami risiko sesuatu rawatan sebelum memberikan persetujuan,” katanya.

Beliau berkata, beberapa kes kecuaian perubatan di Malaysia sebelum ini menyaksikan mahkamah memberikan pampasan melebihi RM8 juta, manakala satu lagi kes yang lebih terkini melibatkan pampasan hampir RM9.5 juta, antara jumlah tertinggi pernah direkodkan di negara ini.

Menurutnya, perkembangan itu menjadi peringatan kepada petugas kesihatan supaya meningkatkan kefahaman terhadap aspek undang-undang, etika dan dokumentasi rawatan bagi mengurangkan risiko pertikaian serta memastikan keselamatan dan kebajikan pesakit terus terpelihara.

“Kesedaran mengenai medikolegal bukan bertujuan mengajar doktor mengelak tanggungjawab, sebaliknya membantu mereka memberikan rawatan dengan lebih selamat, jelas dan beretika.

“Apabila komunikasi lebih jelas, rekod lebih lengkap dan keputusan dibuat secara beretika, pesakit juga yang mendapat manfaat,” katanya.

Bengkel sulung yang diadakan baru-baru ini menghimpunkan para doktor dan petugas kesihatan daripada pelbagai bidang bagi membincangkan isu-isu medikolegal yang sering dihadapi dalam tugasan harian.

Bagi meningkatkan kesedaran mengenai isu tersebut, IDEAL Advisory dengan kerjasama Skillworks Consultancy Sdn. Bhd. baru-baru ini menganjurkan Clinical Ethics and Medicolegal Workshop: Protecting Your Practice di Villea Resort, Port Dickson, Negeri Sembilan.

Bengkel sulung itu menghimpunkan doktor dan petugas kesihatan daripada pelbagai bidang bagi membincangkan isu medikolegal yang sering dihadapi dalam tugasan harian, termasuk kaedah mendapatkan persetujuan pesakit sebelum rawatan, pengurusan maklumat sulit, komunikasi profesional, penggunaan media sosial, sempadan profesional serta kepentingan dokumentasi rawatan yang sistematik.

Peserta turut didedahkan kepada simulasi situasi sebenar membabitkan isu medikolegal, proses membuat keputusan secara beretika serta prosiding tatatertib profesional.

Program itu menerima maklum balas positif apabila mencatat skor kepuasan peserta sebanyak 4.63 daripada lima mata, khususnya terhadap kandungan bengkel yang disifatkan praktikal dan relevan dengan cabaran semasa.

Sementara itu, Pengarah Urusan Skillworks Consultancy Sdn. Bhd., Nor Baity Mohamad berkata, petugas kesihatan masa kini bukan sahaja perlu mahir dari segi teknikal, malah perlu memiliki kemahiran komunikasi serta memahami tanggungjawab dari aspek etika dan perundangan.

Menurutnya, kerjasama antara Skillworks Consultancy dan IDEAL Advisory mencerminkan komitmen kedua-dua pihak dalam menyediakan latihan yang praktikal serta memenuhi keperluan sebenar sektor kesihatan.

“Latihan seperti ini penting bagi membantu petugas kesihatan memberikan perkhidmatan yang lebih selamat, bertanggungjawab dan benar-benar berpusatkan pesakit,” katanya.

Dr. Faizi berharap bengkel seumpama itu dapat menjadi pemangkin kepada perbincangan yang lebih meluas mengenai kepentingan etika klinikal dan tanggungjawab undang-undang dalam profesion perubatan.

Katanya, isu medikolegal tidak seharusnya dilihat sebagai bidang yang hanya perlu difahami oleh peguam atau badan pengawal selia, sebaliknya merupakan sebahagian daripada tanggungjawab harian setiap petugas kesihatan.

Susulan sambutan menggalakkan terhadap program sulung itu, IDEAL Advisory dan Skillworks Consultancy dijangka memperluaskan lagi penganjuran latihan berkaitan medikolegal dan etika klinikal kepada lebih ramai profesional kesihatan di seluruh negara.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button