YKN santuni keluarga mangsa nahas helikopter Doktor Udara
PADAWAN – Yayasan Kebajikan Negara (YKN) menyalurkan bantuan segera kepada keluarga mangsa nahas helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terkorban dalam tragedi di Long Lellang, Baram pada 8 September lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Nancy Shukri yang juga Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah YKN hari ini menziarahi keluarga mendiang Debra Moset di Kampung Semadang di sini bagi menyampaikan bantuan tunai menerusi Pemberian Ehsan kepada Keluarga/Mangsa Bencana (PEKA YKN).
Menurut Nancy, sumbangan itu merupakan tanda keprihatinan kerajaan dalam membantu keluarga mangsa yang sedang berdepan saat sukar akibat kehilangan insan tersayang.
“Kehilangan insan tersayang secara tiba-tiba bukan sesuatu yang mudah diterima. Sumbangan ini tidak mampu menggantikan nyawa yang telah pergi, namun diharap dapat meringankan sedikit beban keluarga.
“Bantuan PEKA YKN ini merupakan antara bentuk sokongan awal kepada keluarga mangsa. Dalam keadaan seperti ini, kehadiran dan perhatian amat penting agar keluarga yang sedang berduka tidak berasa bersendirian,” katanya ketika lawatan berkenaan hari ini.
Beliau turut mendoakan agar keluarga mangsa diberikan kekuatan dan ketabahan serta berharap jasa dan pengorbanan mangsa dalam memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat, khususnya penduduk di kawasan pedalaman, sentiasa dikenang.
Dalam lawatan tersebut, keluarga mendiang turut menerima khidmat kaunseling dan sokongan psikologi daripada kaunselor Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) YKN selain bantuan bakul makanan.
Pada masa sama, ibu mendiang disyorkan menerima Bantuan Warga Emas Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM600 sebulan bermula Oktober ini.
Adik bongsu mendiang, Ponis Moses yang merupakan orang kurang upaya (OKU) fizikal turut didaftarkan untuk menerima bantuan OKU.
Turut hadir Ahli Parlimen Puncak Borneo, Datuk Willie Mongin; Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Nordina Haron dan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Mohd Daud Mohd Arif.
Sebelum ini, pada 18 September lalu, Ketua Setiausaha KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff turut menziarahi keluarga Allahyarhamah Dr Ainul Baraah Kamaruddin di Kampung Baung, Pengkalan Chepa, Kelantan dan menyampaikan bantuan PEKA YKN.
Bantuan sama juga sedang diselaraskan untuk keluarga Allahyarham Kapten Zainol Afiq Bee Sham di Senawang, Negeri Sembilan serta keluarga mendiang Alexson Adit Henry dan mendiang Jessie Paya Jok di Miri, Sarawak.
PEKA YKN merupakan bantuan tunai segera yang disalurkan kepada keluarga atau waris mangsa bencana serta kejadian tidak diingini bagi membantu meringankan beban mereka ketika berdepan situasi mencabar.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








