BERITA SEMASA

221 mangsa banjir dipindahkan ke lima PPS di Gua Musang

GUA MUSANG – Seramai 221 mangsa daripada 57 keluarga dipindahkan ke lima pusat pemindahan sementara (PPS) di daerah ini akibat banjir susulan hujan lebat yang melanda sejak malam tadi.

Menurut portal InfoBencana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tiga mukim didapati terjejas akibat banjir berkenaan setakat pukul 1.33 petang tadi.

Lima PPS yang dibuka ialah Masjid Jeram Tekoh, Dewan Orang Ramai Zon 3 Jeram Tekoh; Sekolah Kebangsaan Jeram Tekoh; Balai Raya Felda Chiku 6 dan Sekolah Kebangsaan Limau Kasturi 1.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani berkata, lebih 200 rumah penduduk terjejas akibat banjir yang berlaku susulan hujan lebat semalam.

Menurutnya, antara kawasan terjejas termasuk Rancangan Kemajuan Tanah (RKT) Jaram Tekoh, RKT Sungai Asap, RKT Renok, Kampung Limau Kasturi, Kampung Serian, Batu 11 dan 12 serta Kampung Jelekang.

Katanya, kenaikan paras air sungai berlaku secara mendadak sehingga menyebabkan sebahagian mangsa tidak sempat menyelamatkan harta benda masing-masing.

“Difahamkan paras air sungai naik secara mendadak sehingga ada dalam kalangan mangsa banjir ini tidak dapat menyelamatkan harta benda mereka.

“Hujan semalam mencatatkan kira-kira 100 milimeter (mm), yang menyebabkan kenaikan paras air berlaku agak drastik,” katanya.

Mohd Azmawi Fikri berkata, penduduk di kawasan berisiko dinasihatkan supaya sentiasa peka dan berwaspada terhadap keadaan cuaca yang tidak menentu bagi memastikan keselamatan mereka terjamin.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button