BERITA SEMASA

Loke letak jawatan Menteri Pengangkutan selepas keputusan CEC DAP

KUALA LUMPUR – Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook mengumumkan akan meletakkan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan selepas keputusan mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP hari ini.

Beliau berkata, keputusan itu dibuat selepas cadangan berhubung peletakan jawatan tersebut dibincangkan dalam mesyuarat CEC yang berlangsung di ibu pejabat DAP hari ini.

“Saya telah katakan bahawa saya mengemukakan cadangan ini kepada mesyuarat CEC tadi dan telah pun dibincangkan dan kita membuat keputusan bahawa saya meletakkan jawatan sebagai reaksi parti terhadap apa yang telah berlaku,” katanya di sini hari ini.

Loke bagaimanapun berkata, operasi Kementerian Pengangkutan akan terus berjalan seperti biasa meskipun beliau meletakkan jawatan.

Menurutnya, beberapa urusan tertunggak perlu diselesaikan terlebih dahulu sebelum beliau menyerahkan peletakan jawatan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Sudah tentu saya memerlukan sedikit masa sebab ada beberapa perkara tertunggak. Saya akan berbincang dengan Perdana Menteri.

“Namun waktu itu tidak begitu lama kerana perancangan yang telah dibuat dan projek-projek yang telah dilaksanakan akan diteruskan,” katanya lagi.

Beliau berkata, peletakan jawatan seorang menteri tidak akan menjejaskan operasi sesebuah kementerian kerana kementerian akan terus berfungsi seperti biasa.

Loke turut menjelaskan mengapa hanya beliau yang mengambil keputusan untuk berundur daripada Kabinet, sedangkan terdapat beberapa pemimpin DAP lain yang memegang jawatan dalam kerajaan.

“Kalau semua letak jawatan sekarang ini, mungkin kerajaan akan tumbang. Ini yang diinginkan oleh lawan kita.

“Kita tidak mahu memberikan peluru ini kepada pihak lawan. Kita tahu mereka akan cuba menggugat kestabilan politik negara dan kestabilan kerajaan pimpinan Yang Amat Berhormat Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya lagi.

Menurutnya, keputusan untuk tidak mengosongkan semua jawatan menteri DAP dibuat bagi mengelakkan tindakan berkenaan dimanfaatkan pihak tertentu untuk menggugat kestabilan kerajaan.

“Kita tahu ini harapan mereka. Mereka cuba provokasi kita dan sebagainya.

“Tetapi pada masa sama, kita juga membuat satu pendirian melalui keputusan yang saya buat,” katanya lagi.

Mesyuarat CEC DAP hari ini diadakan bagi menentukan pendirian serta tindakan susulan parti susulan keputusan pengampunan bersyarat terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebelum mesyuarat, Loke tiba di ibu pejabat DAP kira-kira jam 2.50 petang bersama beberapa pemimpin kanan parti, termasuk Gobind Singh Deo, Nga Kor Ming dan Hannah Yeoh.

Loke kini merupakan Menteri Pengangkutan dalam Kerajaan Perpaduan dan memegang jawatan itu sejak Disember 2022.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button