Cuba bergelap selepas grid elektrik nasional lumpuh
HAVANA – Seluruh Cuba bergelap selepas grid elektrik nasional negara itu mengalami gangguan sepenuhnya semalam, ketika negara itu berdepan krisis tenaga yang semakin meruncing.
Kesatuan Elektrik Cuba (UNE) memaklumkan protokol pemulihan segera diaktifkan susulan gangguan tersebut.
“Sistem Elektrik Nasional mengalami gangguan sepenuhnya. Protokol pemulihan kini diaktifkan,” menurut UNE menerusi platform X.
UNE berkata, siasatan segera sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, manakala perkembangan mengenai usaha memulihkan bekalan elektrik akan dimaklumkan dari semasa ke semasa.
Gangguan terbaru itu berlaku selepas Cuba berdepan siri kegagalan bekalan elektrik di seluruh negara sepanjang tahun ini, termasuk beberapa gangguan besar pada Julai dan satu lagi pada 2 Ogos lalu.
Keadaan turut menjejaskan Havana dan beberapa kawasan lain dengan sebahagian penduduk dilaporkan berdepan gangguan bekalan elektrik melebihi 30 jam sejak beberapa minggu kebelakangan ini.
Krisis tenaga Cuba dikaitkan dengan keadaan loji jana kuasa terma yang semakin uzur, kekurangan bahan api serta kapasiti penjanaan yang terhad.
Kementerian Tenaga dan Galian sebelum ini menyatakan faktor infrastruktur yang semakin lama, kekurangan bahan api dan masalah sistem penjanaan antara punca yang menjejaskan kestabilan bekalan elektrik negara itu.
Walaupun sumber tenaga boleh diperbaharui digunakan bagi menambah kapasiti penjanaan, loji jana kuasa terma masih menjadi komponen utama sistem elektrik Cuba.
Kerajaan Cuba menyalahkan sekatan dan langkah Amerika Syarikat (AS) yang didakwa menjejaskan bekalan bahan api serta memburukkan lagi krisis tenaga negara itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |


