Tiga mayat ditemukan penyelam, 126 masih hilang dalam tragedi feri Indonesia
BANJARMASIN – Pasukan penyelam Indonesia menemukan tiga mayat dalam feri penumpang Virgo Transport 8 yang karam di Laut Jawa, ketika operasi menyelamat dan mengapungkan semula kapal itu memasuki fasa baharu.
Penemuan dua lelaki dan seorang wanita itu menjadikan jumlah kematian yang disahkan meningkat kepada sembilan orang, manakala 108 lagi berjaya diselamatkan.
Perkembangan terbaharu itu menjadikan jumlah penumpang dan kru yang masih belum ditemukan adalah seramai 126 orang.
Operasi mengeluarkan mayat dan mengalihkan kapal berkenaan dimulakan semalam selepas arus deras serta ombak besar yang menghalang usaha mencari mangsa sejak lima hari lalu.
Komander Pangkalan Tentera Laut Banjarmasin, Galih Nurna Putra berkata, pasukan penyelamat kini berusaha menarik kapal itu ke kawasan lebih cetek sebelum mengapungkannya semula bagi memudahkan operasi mencari mangsa.
“Operasi menyelamat sedang dijalankan,” katanya kepada pemberita.
Penyelam berjaya memasuki kapal berkenaan dan menemukan tiga mayat, namun operasi bawah air terpaksa dihentikan susulan arus deras.
Ketua Agensi Mencari dan Menyelamat Banjarmasin, I Putu Sudayana berkata, usaha mengeluarkan lebih banyak mayat akan dapat diteruskan selepas kapal itu berjaya ditegakkan.
Virgo Transport 8 yang membawa 243 penumpang dan kru dilaporkan karam akibat cuaca buruk dalam perjalanan selama kira-kira 20 jam dari Surabaya, Jawa Timur ke Banjarmasin, Kalimantan Selatan pada Ahad lalu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |
