POLITIK

PH tetap masuk gelanggang PRN Melaka

KUANTAN – Pakatan Harapan (PH) menegaskan akan tetap bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka walaupun belum ada keputusan muktamad mengenai sebarang kerjasama politik dengan mana-mana parti.

Setiausaha Agung PKR, Datuk Dr Fuziah Salleh berkata, PH kini berada dalam keadaan siap siaga untuk menghadapi pilihan raya berkenaan dan tidak bergantung kepada sebarang bentuk kerjasama bagi meneruskan perjuangan politiknya.

Menurut beliau, setakat ini belum ada keputusan rasmi berhubung kemungkinan kerjasama antara PH dengan mana-mana parti termasuk Barisan Nasional (BN) bagi menghadapi PRN Melaka.

“Tiada keputusan dibuat mengenai kerjasama politik bagi PRN Melaka, namun perjuangan diteruskan.

“Apa juga keputusannya nanti, PH bersedia untuk bertanding di Melaka,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Program Madani Kita di Perkampungan Sungai Isap Damai di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas spekulasi mengenai kemungkinan kerjasama politik antara PH dan BN menjelang pilihan raya negeri tersebut.

Dalam pada itu, Fuziah turut menafikan dakwaan bahawa PH akan menjalinkan kerjasama dengan BERSATU pada PRN Melaka.

Katanya, sehingga kini tiada sebarang keputusan rasmi atau pengumuman dibuat berhubung perkara berkenaan.

Mengulas isu lain, beliau menegaskan PH akan terus berpegang kepada prinsip memerangi rasuah dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang bentuk penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan.

“PH tidak akan menerima sebarang keadaan yang membabitkan rasuah, penyalahgunaan kuasa atau penyelewengan dan akan terus komited memastikan segala salah laku berkenaan disiasat.

“Majlis Presiden PH kekal teguh menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Peguam Negara, Tan Sri Dusuki Mokhtar dan Menteri Wilayah Persekutuan, Hannah Yeoh bahawa tiada sesiapa pun berada di atas undang-undang dan Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi,” katanya lagi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button