POLITIK

Kemelut BERSATU: 11 Ketua Bahagian Johor letak jawatan

KLUANG – Kemelut yang melanda Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) masih belum menemukan titik penamat apabila seramai 11 Ketua Bahagian dari Johor, mengumumkan peletakan jawatan secara beramai-ramai.

Bekas Ketua Bahagian BERSATU Pontian, Datuk Isa Abdul Hamid berkata, ketua bahagian yang mengumumkan peletakan jawatan adalah Simpang Renggam, Sembrong, Mersing, Ledang, Pontian, Labis, Pengerang, Johor Bahru, Tanjung Piai, Sri Gading dan Pulai.

Peletakan jawatan itu secara tidak langsung menyebabkan semua bahagian terlibat tidak lagi dapat berfungsi bagi menjalankan apa-apa kegiatan berkaitan parti.

Isa menjelaskan, tindakan sedemikian diambil kerana mereka berasa kecewa dan kesal dengan krisis yang melanda parti tersebut.

“Dengan tindakan ini, apabila dua pertiga daripada Ahli Jawatankuasa Bahagian turut mengambil keputusan secara tidak langsung menyebabkan bahagiannya terbubar dan tidak boleh membuat keputusan mesyuarat,” katanya, hari ini.

Menurut Isa, dijangka lebih ramai lagi Ketua Bahagian di Johor akan mengambil keputusan sama dalam masa terdekat dan menyifatkan tindakan tersebut dilakukan secara sedar, tanpa paksaan daripada mana-mana pihak.

Dalam pada itu, Bekas Ketua Bahagian Johor Bahru, Datuk Zulkifli Bujang berkata, buat masa sekarang, pihaknya tidak bercadang untuk menyertai mana-mana parti walaupun BERSATU tidak lagi memberi ruang untuk memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button