Noh Omar letak jawatan Ahli MPT BERSATU, persoal tindakan Lembaga Disiplin
KUALA LUMPUR – Tan Sri Noh Omar hari ini mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) susulan rasa kecewa terhadap tindakan Lembaga Disiplin parti yang didakwa tidak menghormati keputusan MPT.
Dalam satu hantaran video di media sosial, beliau mempersoalkan mengapa tindakan disiplin masih diteruskan walaupun MPT dalam mesyuarat pada 12 Januari 2026 telah memutuskan supaya semua tindakan disiplin ditangguhkan.
“Saya ingin tegaskan dalam Mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi BERSATU yang diadakan pada 12 Januari 2026, MPT telah membuat keputusan bahawa semua tindakan disiplin hendaklah ditangguhkan.
“Jadi persoalannya mengapa Lembaga Disiplin terus mengambil tindakan disiplin kepada ahli-ahli BERSATU? Yang mana lebih berkuasa, Lembaga Disiplin atau MPT BERSATU?” katanya.
Menurut beliau, keputusan MPT sebagai badan tertinggi parti sepatutnya dihormati dan dipatuhi termasuk oleh Lembaga Disiplin.
Noh turut memaklumkan bahawa MPT sebelum ini telah menubuhkan Jawatankuasa Perpaduan Parti atau Jawatankuasa Pengukuhan Parti yang dipengerusikan oleh Tan Sri Rais Yatim dan beliau sendiri dilantik sebagai anggota jawatankuasa tersebut.
Katanya, jawatankuasa itu telah mengadakan tiga mesyuarat bagi merangka pelan mengembalikan perpaduan dalam BERSATU.
Bagaimanapun sebelum langkah tersebut dilaksanakan, Lembaga Disiplin bertindak mengambil tindakan terhadap beberapa ahli.
BACA JUGA:
Muhyiddin tegas selamatkan BERSATU, MPT sepakat perkukuh parti hadapi PRU-16
Kedudukan Ketua Pembangkang diteliti selepas pemecatan Hamzah – Azmin Ali
Beliau menjelaskan bahawa sekiranya ada ahli yang membuat kenyataan bercanggah selepas keputusan MPT pada 12 Januari, tindakan boleh diambil atas alasan melanggar arahan MPT.
“Kalau kita nak ambil tindakan, sepatutnya hanya ambil tindakan kepada mana-mana ahli yang melanggar keputusan MPT bukannya kepada mereka yang telah membuat apa-apa kenyataan sebelum keputusan MPT,” katanya.
Noh menegaskan prinsip perjuangannya ialah ‘nobody above the law’ dan semua pihak termasuk Lembaga Disiplin tertakluk kepada perlembagaan serta peraturan parti.
Beliau turut menyatakan bahawa sekiranya MPT ingin membatalkan keputusan penangguhan tindakan disiplin, satu mesyuarat khas perlu diadakan untuk mengatasi keputusan terdahulu, namun perkara itu tidak berlaku.
Sehubungan itu, beliau mengumumkan peletakan jawatan sebagai Ahli MPT BERSATU berkuat kuasa serta-merta.
“Saya nak ucapkan terima kasih kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang telah memberi peluang kepada saya menjadi ahli MPT, tetapi apa guna saya menjadi ahli MPT kalau keputusan MPT tidak dihormati,” katanya.
Untuk rekod, Noh dilantik sebagai ahli MPT BERSATU pada 18 Januari 2025.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








