POLITIK

Muhyiddin tegas selamatkan BERSATU, MPT sepakat perkukuh parti hadapi PRU-16

KUALA LUMPUR – Presiden dan pengasas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU), Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan tindakan disiplin terhadap beberapa ahli parti dibuat demi menyelamatkan serta memulihkan perpaduan BERSATU yang berdepan tekanan dan sabotaj dalaman.

Dalam kenyataan media hari ini, Muhyiddin memaklumkan beliau telah mempengerusikan Mesyuarat Khas Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU bagi membincangkan langkah-langkah memperkukuh parti susulan tindakan disiplin yang diambil.

Menurutnya, tindakan tersebut bukan dibuat secara sewenang-wenangnya, lebih-lebih lagi apabila melibatkan pemimpin kanan parti.

“Tindakan disiplin adalah sebahagian daripada mekanisme yang ada di dalam perlembagaan parti untuk memastikan parti terus stabil dan kukuh,” katanya.

Beliau menjelaskan sebelum sebarang tindakan diambil, pelbagai usaha telah dilakukan untuk mencari titik perdamaian termasuk melalui siri pertemuan dan perbincangan dengan pihak terlibat, namun usaha itu tidak berhasil.

Malah, katanya, terdapat segelintir pihak yang berterusan melakukan sabotaj dengan tujuan memecah-belahkan parti dan menggagalkan matlamat perjuangan.

“Sebagai Presiden dan pengasas BERSATU, saya mempunyai tanggungjawab untuk memastikan parti ini terus kukuh dan berada di landasan perjuangannya yang sebenar.

“Saya dan ramai lagi yang terlibat dalam perjuangan parti sejak dari awal tidak rela melihat parti ini dirosakkan oleh pihak-pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

BACA JUGA: 

Kedudukan Ketua Pembangkang diteliti selepas pemecatan Hamzah – Azmin Ali

Hamzah Zainudin buat ‘move’, jumpa 2/3 wakil rakyat dan ketua bahagian BERSATU

Beliau turut mendedahkan bahawa selama bertahun-tahun beliau mengambil pendekatan berhemah dalam menghadapi pelbagai tekanan dalaman, malah memberi ruang dalam kepimpinan kepada individu yang diketahui menentangnya demi memastikan perpaduan parti terus terpelihara.

“Saya bersangka baik demi satu tujuan iaitu untuk memastikan parti BERSATU terus bersatu-padu, kukuh dan dapat menjayakan tujuan dan matlamat perjuangan parti yang murni,” jelasnya.

Bagaimanapun, usaha itu menurutnya tidak dihargai apabila tindakan bercanggah dengan perlembagaan dan disiplin parti terus dilakukan.

“Jika dibiarkan perbuatan ini akan merosakkan parti dan mengecewakan ahli-ahli parti yang setia dengan perjuangan parti.

“Oleh itu, saya dan rakan-rakan dalam barisan kepimpinan BERSATU bertekad bahawa sudah sampai masanya proses disiplin parti yang termaktub di dalam perlembagaan BERSATU hendaklah diambil untuk menyelamatkan parti,” katanya.

Sehubungan itu, Mesyuarat Khas MPT hari ini bersepakat untuk terus mendokong perjuangan BERSATU, membina semula parti, memperkukuh perpaduan ahli serta memperkuat jentera bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU-16).

Datuk Dr Radzi Jidin dilantik menjalankan tugas sebagai Timbalan Presiden BERSATU.

Dalam perkembangan sama, mesyuarat tersebut turut sebulat suara bersetuju melantik Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin dan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu bagi menjalankan tugas Timbalan Presiden.

Muhyiddin turut menyeru seluruh ahli BERSATU supaya kekal tenang dan terus memberi kepercayaan kepada barisan kepimpinan parti untuk mengemudi organisasi kembali ke landasan perjuangan asal demi membela nasib rakyat.

“Saya yakin dengan semangat kebersamaan ahli-ahli BERSATU dan kesetiaan kepada perjuangan parti, kita akan dapat mengharungi apa jua cabaran dan dugaan yang melanda parti,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button